Permasalahan Dalam Memahami Ibadah Menurut As-Sunnah

Saturday, February 28, 2009




Dalam kita mencari ilmu untuk beribadah menurut As-Sunnah, maka sekian banyak yang keliru dalam memahami kaedah sebenar sebagai panduan dalam beribadah. Maka lahirlah perselisihan yang banyak di dalam bab ini. Baik perselisihan dengan golongan ahli ahwa’ (golongan yang menghalalkan bid’ah di dalam urusan agama) yang sememangnya tersasar dari Manhaj As-Sunnah mahupun perselisihan sesama golongan yang berfaham atau bermanhaj As-Sunnah.

Kita telah pelajari daripada bab ‘aqidah, di mana di dalam soal ini kita lihat keseragaman Manhaj As-Sunnah memahami dalil, baik di dalam urusan tauhid dan iman, jika terdapat pun perbezaan faham di dalam urusan iman, hanya dalam bab menetapkan urusan urusan yang tidak sampai menggugat keimanan, iaitu urusan luarannya, dan masalah yang ditimbulkan adalah sedikit sekali. Tetapi di dalam bab ibadah, pecahan pendapat berlaku dengan begitu luas, sehingga ada di kalangan umat Islam yang keliru dan tersasar jauh kefahamannya dari kebenaran. Jadi bagaimanakah kita hendak menyelesaikan perselisihan di dalam soal ibadah ini ?

Jawapan yang diwahyukan oleh Allah untuk menjadi pedoman kepada kita adalah, firman-Nya yang berbunyi :

فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِيْ شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللهِ وَالرَّسُوْلِ اِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ
“Maka jika kamu selisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan ar-Rasul (As-Sunnah) jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhir. Q.S. An-Nisa’ ayat 59 [4:59]

Iaitu kembali merujuk, mencari jawapan dari Kalam/perkataan Allah dan petunjuk Rasul-Nya dalam sebarang perselisihan atau pertikaian. Kita rujuk kepada Al-Quran dan hadits Rasulullah saw. yang telah sampai kepada kita dengan ilmu pengetahuan. Maka boleh diambil faham, jika berkemampuan untuk merujuk sendiri kepada Al-Quran dan hadits maka lakukanlah, tetapi jika kita tidak berkemampuan tidak mempunyai pengetahuan dalam soal ini, maka carilah guru yang memahaminya dan bertanya, jika jawapannya itu jelas beralasan dengan dalil yang sah pengambilannya maka terimalah sebagai satu ilmu untuk kita pegang dan amalkan. Firman Allah :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَىِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ
“Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu mendahului (perkataan atau perbuatan kamu) daripada Allah dan Rasul”
Q.S. Al-Hujurat ayat 1 [49:1]

Iaitu tidak mendahulukan sesuatu ibadah atau apa jua amalan di dalam agama, tidak kira siapa pun yang memberi petua atau ajaran kepada kita melainkan ajaran itu menepati atau benar dengan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَلاَ تُبْطِلُوْا اَعْمَالَكُمْ
“Hai orang orang yang beriman, taatlah kamu sekalian kepada Allah dan taatlah kamu sekalian kepada Rasul, dan janganlah kamu sekalian membatalkan amal amal kebaikanmu.” Q.S. Muhammad ayat 33 [47:33]

Wajib seorang yang beriman itu berpegang dengan Kitabullah dan manhaj Ar-Rasul dan manhaj para sahabatnya yang terpimpin, sedangkan perbuatan melanggari batas/bertentangan dari yang demikian yang berpegang kepada petua petua atau ilmu yang di sampaikan tanpa dalil sahih, hanya hujah lidah yang di sulam dengan keindahan bahasa dan kepetahan bercakap oleh guru yang di percayainya adalah haram/terlarang. Semua orang mukmin wajib berpegang kepada Al-Quran dan hadits Rasul. Maka dengarlah pesanan Rasulullah saw. kepada kita, sabdanya :

ذَرُوْنِيْ مَا تَرَكْتُكُمْ فَاِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى اَنْبِيَائِهِمْ مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَمَا اَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Biarkan aku (bertanggung jawab) di atas apa yang telah aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa golongan golongan yang sebelum kamu di sebabkan banyak persoalan dan perselisihan mereka ke atas Nabi Nabi mereka. Oleh itu apa yang telah aku larangi kamu sekalian maka berhentilah (daripada mengerjakannya). Dan apa yang telah aku suruh kamu kerjakan maka kerjakanlah ia sekadar yang kamu mampu.”
Hadits Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hanya dengan beribadah dengan menurut apa yang di sunnahkan oleh Rasulullah saw. itu sajalah yang selamat bagi kita, menyalahi sunnah di dalam beribadah bermakna kita berada di ambang kesesatan dan sia-sialah amal ibadat kita. Dalil yang kita tegakkan di atas adalah dalil yang menjadi hujah kita di dalam memahami permasalahan ibadat. Tidak perlu kepada tambahan, rekaan walau pun dengan tujuan yang baik di dalam urusan ibadat kerana Allah telah sempurnakan Islam itu dan telah Allah turunkan syariat di atas setiap urusan agama, termasuklah di dalam urusan ibadat yang telah di wajibkan atas kita sebagaimana firman-Nya :

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan (syariat) dan jalan yang terang.” Q.S. Al-Maidah ayat 48 [5:48]

Apakah yang di katakan masalah khilafiyah ?
Masalah khilafiyah adalah masalah yang berlaku perselisihan pendapat di antara ulama. Jika tiap tiap pendapat ada dalil dan hujah yang kuat dari Al-Quran dan hadits, maka masalah inilah yang di katakan masalah khilafiyah. Manakala satu urusan yang tidak ada dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah lalu di perselisihkan dengan hujah yang berdalilkan keterangan yang sahih dari Al-Quran dan hadits ini bukannya masalah khilafiyah. Apabila sesuatu urusan yang tidak berdalilkan Al-Quran dan hadits yang sahih di masukkan dalam permasalahan agama ianya adalah bid’ah dan bid’ah di dalam urusan agama itu adalah sesat dan sia sialah amalan amalan pelakunya dan di perjelaskan oleh Rasulullah saw. orang yang beramal dengan bid’ah di dalam urusan agama itu adalah sesat dan tempatnya adalah neraka. Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tiada perintah kami padanya maka ianya tertolak Riwayat Muslim

Sabdanya lagi:
فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. وَفِيْ رِوَايَةٍ: وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ
Maka sesungguhnya setiap yang diada-adakan (dalam urusan agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat. Dalam riwayat lainnya: Dan setiap kesesatan itu tempatnya neraka Riwayat Muslim

Mengapakah para ulama berbeza pendapat sedangkan mereka merujuk Al-Quran dan hadits ?

Allah menciptakan manusia itu, dengan memberi kepada orang-orang yang beriman yang berusaha mencari ilmu itu darjat-darjat yang berlainan, ada yang di tinggikan sehingga bijaksana dan mampu mengembangkan Islam dengan penuh kecemerlangan dan ada pula yang berilmu tetapi terpenjara dan ilmunya berkembang secara sedikit demi sedikit kerana terbatas dengan tembok penjara. Ada yang berpelajaran tinggi tetapi tidak mampu menyampai dengan lidah (ucapan) tetapi pena atau penulisannya tajam dan berkesan. Itulah kekuasaan dan ketetapan Allah yang telah di jelaskan di dalam Al-Quran yang wajib bagi kita beriman dengannya. Firman Allah :

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا مِنْكُمْ وَالَّذِيْنَ اُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Allah meninggikan mereka yang beriman antara kamu dan mereka yang diberi ilmu (para ulama) beberapa darjat.” Q.S. Al-Mujadalah ayat 11 [58:11]

Apakah itu taqlid ?
Taqlid adalah menurut guru, ulama, mazhab atau lain lainnya yng menjadi ikutan tanpa mengambil kira dalilnya ada atau tidak, nashnya sahih atau tidak, sehingga jika di perjelaskan dalil yang terang sahih dari Al-Quran dan hadits sekali pun, ia tetap dengan taqlied dan menolak keterangan yang benar dan sahih. Maka taqlied itu adalah menurut seseorang itu di dalam urusan agama tanpa alasan dari syarak. Hukumnya adalah haram sebagaimana firman Allah :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ اِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Janganlah kamu mengikuti (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan di pertanggungjawab.” Q.S. Al-Isra’ ayat 36 [17:36]

Apakah itu Talfiq ?
Talfiq adalah mengambil/memilih satu faham yang lebih mudah dari sekian banyak faham ulama. Contohnya ada orang berfaham bersentuh dengan perempuan itu batal wudhuk, jadi bila ia ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji ia berniat tukar mazhab iaitu mengambil mazhab yang lebih mudah iaitu yang berfaham ‘sentuh dengan perempuan tidak membatalkan wudhuk’, perbuatan ini adalah bid’ah dhalalah (sesat) dan tidak ada satu keterangan pun daripada Al-Quran dan Sunnah Rasul, Sunnah sahabat juga tidak ada seorang pun dari Imam yang empat yang menghalalkan perbuatan yang demikian.

Apakah itu Ijtihad ?

1) Iaitu jika terdapat dua pendapat yang berdalil dengan dalil yang kuat/sahih, lalu kita memegang satu dari pendapat itu dengan keyakinan ianya lebih kukuh untuk beramal.
2) Timbul permasalahan dalam masalah agama yang tidak terdapat sejauh pencarian kita dalilnya, maka bila kita memiliki keupayaan untuk mengeluarkan pendapat dan melakukan dengan kefahaman berdasarkan As-Sunnah dari masalah itu, maka yang demikian itu di namakan Ijtihad.

Sabda Rasulullah saw.:

مَنِ اجْتَهَدَ فَاَصَابَ فَلَهُ اَجْرَانِ فَاِنْ اَخْطَأَ فَلَهُ اَجْرٌ وَاحِدٌ
“Siapa berijtihad, dan benar ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Jika salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala.”

Demikianlah di dalam urusan agama, kita tidak boleh mengambil mudah dengan hanya berpegang dengan ulama tanpa mengambil tahu dari mana pengambilannya, sesungguhnya hanya Al-Quran dan Sunnah Rasul itu adalah pegangan mutlak kita di dalam melaksanakan amal ibadat, kerana manusia itu tidak sunyi daripada kesilapan, dan Allah memelihara Rasulullah saw. daripada kesilapan di dalam penyampaian agama. Sabda Rasulullah saw.:

كُلُّ بَنِيْ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.” H.R. Ahmad dengan darjat hasan

Comments

No response to “Permasalahan Dalam Memahami Ibadah Menurut As-Sunnah”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger