Permasalahan di dalam memahami ibadah menurut As-Sunnah 2

Tuesday, March 24, 2009

Soalan : Apakah Muhammad bin Abdul Wahhab seorang muqallid, iaitu seorang yang bertaklied kepada mazhabHanbali?

Jawapan : merujuk dari beberapa kitab darihal kisah hidup Muhammad bin Abdul Wahhab anataranya ialah : Kitab MAJMU’AT RASA’IL SHAYKH AL-ISLAM MUHAMMAD BIN ABD AL-WAHHAB yang diterjemahkan oleh Baharuddin Ayudin, Faculty of Shariah and Islamic Studies Umm al-Qura Universiti Makkah al-Mukarramah,dari edisi asalnya oleh kerajaan Arab Saudi. Terjemahan di keluarkan di atas usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis pada tahun 1993. Di nyatakan bahawa : ‘…..al-Shaykh Muhammad bin Abd al-Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rashid bin Barid bin Mushrif al-Najdi al-Tamimi. Beliau dilahirkan pada tahun 1115H…..Beliau mempelajari daripada bapanya (seorang qadhi) kitab kitab fiqh Hanbali…..Beliau juga membaca kitab kitab tafsir, hadith dan usul. Kitab kitab Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah dan al-Allamah Ibn Qayyim cukup berkesan di hatinya dan amat berpengaruh sekali dalam membentuk keperibadian dan keilmuannya. Beliau telah mengambil ilmu daripada sumbernya yang sahih, sehingga mampu mencorakkan kefahamannya yang jitu senjak kecil lagi dan tertanam di dalam hatinya akidah yang benar terbit daripada kitab kedua kedua imam besar itu.

Dan di dalam kertas kerja Dr. Sulaiman Al-Saloomi, Professor di Jabatan Akidah, Universiti Ummul Qura, Makkah al-Mukarramah, yang di tulis untuk seminar antara bangsa mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, pada halaman 3, menyatakan bahawa :‘Beliau (Muhammad bin Abdul Wahhab) banyak membaca dan mengkaji kitab kitab tafsir dan hadith dan banyak menuntut ilmu dan menjelajah kerananya ke Hijaz, Iraq dan Syam. Beliau menuntut berbagai bidang ilmu daripada beberapa orang ulama di Najd, Basrah dan Ihsa’ dan kebanyakan mereka adalah ulama mazhab Hanbali dan mazhab Syafie.’

Di dalam dua petikan di atas adalah jelas dari sumber yang di perakui tempat keluarnya sejarah Muhhamad bin Abdul Wahhab, bahawa tidaklah beliau seorang yang muqallied tetapi beliau adalah seorang yang mencari ilmu dari berbagai mazhab dan tidak terbatas sebagai seorang yang hanya berilmu di dalam mazhab Hanbali sahaja. Sehinggalah beliau di anggap di antara ulama ulama yang mengislahkan kembali kesucian Islam yang telah tercemar dengan berbagai bid’ah dan khurafat di sebabkan bertaqlied dan meninggalkan ittiba dan ijtihad yang akhirnya menyebabkan fahaman Islam di masa itu menjadi semakin sempit.

Bolehkah kita berijtihad ?

Maka terpecah bab ini kepada dua bahagian iaitu :
1) Ijtihad seseorang untuk dirinya sendiri berdalilkan Al-Quran dan As-Sunnah.
2) Ijtihad seorang ulama untuk digunakan oleh orang ramai yang akan menjadi muttabi’ (pengikut) kepadanya.

Ijtihad seseorang untuk dirinya adalah berdasarkan dari hadits :
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ جُبَيْرٍ قَالَ: اِنَّ عَمْرُو بْنِ الْعَاصِ لَمَّا بُعِثَ فِيْ غَزْوَةِ ذَاتِ السَّلاَسِلِ قَالَ: اِحْتَلَمْتُ فِيْ لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيْدَةِ الْبَرْدِ فَاَشْفَقْتُ اِنِ اغْتَسَلْتُ اَنْ اَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِاَصْحَابِيْ صَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى رَسُوْلِ الله ص ذَكَرُوْا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِاَصْحَابِكَ وَاَنْتَ جُنُبٌ؟ فَقُلْتُ: ذَكَرْتُ قَوْلَ الله عَزَّ وَجَلَّ " وَلاَ تَقْتُلُوْا اَنْفُسَكُمْ اِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا " فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ. فَضَحِكَ رَسُوْلُ الله ص وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا
Dari Abdul Rahman bin Jubair ia berkata: Di waktu Amr ibnu al-Ash diutus Rasulullah saw pergi ke peperangan Dzatul Salasil, ia (Amru bin al-Ash) berkata: Saya bermimpi pada malam yang sangat dingin maka saya takut mandi. Kerana itu saya pun bertayammum lalu saya solat Subuh dengan kawan-kawan. Di ketika kami kembali kepada Rasulullah, teman-temanku menerangkan hal itu kepada Rasulullah. Maka bersabda Rasulullah: Hai Amru, apakah engkau solat bersama teman-temanmu padahal engkau berjunub? Amru menjawab: Ya Rasulullah, saya teringat firman Allah (bermaksud): Dan jangan engkau membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah sangat menyayangi kamu. Kerana itu, saya pun bertayammum kemudian saya bersolat. Maka Rasulullah saw tertawa dan tidak mengatakan apa-apa lagi.
H.R Ahmad & Abu Daud

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيّ قَالَ: خَرَجَ رَجُلاَنِ فِيْ سَفَرٍ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمَا مَاءٌ فَتَيَمَّمَا صَعِيْدًا طَيِّبًا فَصَلَّيَا ثُمَّ وَجَدَ الْمَاءَ فِي الْوَقْتِ فَاَعَادَ اَحَدُهُمَا الصَّلاَةَ وَالْوُضُوْءَ وَلَمْ يَعِدِ الأَخَرُ ثُمَّ اَتَيَا رَسُوْلُ الله ص فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ. فَقَالَ لِلَّذِيْ لَمْ يُعِدْ: اَصَبْتَ السُّنَّةَ وَاَجْزَأَتْكَ صَلاَتُكَ. وَقَالَ لِلأَخَرِ: لَكَ الأَجْرُ مَرَّتَيْنِ
Dari Abu Said Al-Khudri ia berkata: Dua orang lelaki bermusafir maka masuklah waktu solat sedang mereka berdua tidak mendapati air (untuk berwudhuk) maka kedua-duanya bertayammum dengan debu tanah yang baik lalu solat. Kemudian, kedua-duanya memperolehi air padahal waktu solat belum habis. Kerana itu, yang seorang mengulangi solatnya dengan berwudhuk dan yang seorang lagi tidak. Kemudian mereka berdua mendatangi Rasulullah saw dan menceritakan perihal demikian. Maka bersabda Rasulullah kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya: Perbuatan engkau menepati sunnah dan solat engkau diberi ganjaran. Kepada lelaki yang mengulangi solatnya maka Rasulullah bersabda: Engkau memperoleh dua pahala.
H.R Abu Daud & Nasaie

Maka dari dalil di atas adalah di fahamkan bahawa ijtihad untuk seseorang itu adalah di sunnahkan setelah ia berusaha untuk mendapatkan nash dari Al-Quran dan Sunnah. Hendaklah dilakukan setelah ia bersungguh-sungguh berusaha untuk mendapatkan keyakinan berdasarkan dalil yang sahih. Dan demikianlah di atas dalil-dalil yang sahih yang menjadi permasalahan kilafiyah, hendaklah ia berusaha bersungguh-sungguh memahami dalil dalil itu dengan ilmu yang ada padanya sehingga lahir keyakinan berdasarkan dalil tersebut, yang kemudiannya menjadi ijtihad kepadanya. Maka untuk memiliki ketinggian ilmu tentang bahasa arab, ilmu tentang hadits, wadh’iyyah, musta’arah, nash, mutlaq dan sebagainya telah pun di selesaikan oleh para ulama hadits dan ulama as-Sunnah sehingga lahir dua pandangan yang masing masing berdalilkan dalil yang sahih. Tugas kita adalah memahami dalil dalil tersebut dan melahirkan pendirian diri berdasrkan dalil untuk berpegang dengan keyakinan dari mana mana keterangan tersebut dari mengelakkan amalan taqlied.

Ijtihad ulama untuk dipergunakan oleh orang ramai
Dalam bab inilah yang di sepakati oleh sebahagian besar ulama ahli sunnah tentang perlu kepada ketinggian ilmu yang diperlukan untuk berijtihad. Supaya ijtihad itu bersih dari dalil-dalil yang tidak sahih atau terkeluar daripada kefahaman As-Sunnah.

Jika tidak memiliki walau sedikit pun pengetahuan di dalam bahasa arab, ilmu hadits dan sebagainya untuk ia melahirkan ijtihad, seperti orang yang telah tua uzur dan orang yang baru memeluk Islam yang padanya tidak ada sedikit pun ilmu untuk ia membaca dan memahami kitab kitab maka dibenarkan orang yang demikian ini berittiba’. Ittiba’ pada sisi ahli agama Islam adalah menurut, menerima, mengerjakan sesuatu yang ditunjukkan oleh seorang dengan mengetahui alasan dari Al-Quran dan hadits dan ia bertentangan dengan taqlied iaitu meniru, mengerjakan menerima sesuatu hukum dari sesetengah orang dengan tidak mengetahui alasan dan dalil dari Al Quran dan Sunnah. Dalil Ittiba’ :

فَسْأَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ
Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui Q.S An-Nahl ayat 43 [16:43]

Bahawa bertanyakan pada ahli ilmu bukanlah dengan mengikut pandangan atau akal fikirannya tapi dengan menerima apa yang disampaikan dari Al-Quran dan hadits Nabi saw. Dalil dilarang taqlied adalah :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ اِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Janganlah kamu mengikuti (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan di pertanggungjawabkan.” Q.S. Al-Isra’ ayat 36 [17:36]
BAB WUDHUK
Bersugi

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنْ رسولِ الله ص اَنَّهُ قَالَ: لَوْ لاَ اَنْ اَشُقَّ عَلَى اُمَّتِيْ لاَََمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ وَضُوءٍ

Daripada Abi Hurairah, daripada Rasulullah saw. bahawasanya ia pernah bersabda: Jika tidak aku menyebabkan kesusahan atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi (memberus gigi) di tiap-tiap kali berwudhuk. Diriwayatkan oleh Malik, Ahmad dan Nasai. Disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Bukhari sebutkan ia secara ta’liq.

Hadits di atas walaupun tidak menunjukkan wajibnya bersugi tetapi nyata bahawa ia satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam malah amalan bersugi ini cukup ditekankan dalam ilmu kesihatan. Oleh yang demikian, jadikanlah amalan bersugi ini sebagai satu amalan ketika berwudhuk kerana ia adalah sunnah Rasulullah saw, walau tidak dapat dilakukan di setiap kali berwudhuk, cubalah melakukannya dua atau tiga kali daripada wudhuk-wudhuk tersebut. Tidaklah ditetapkan bersugi itu hanyalah dengan kayu sugi tetapi boleh digunakan bahan-bahan lain yang sesuai untuknya dan dari barang yang halal.

Membaca Basmallah

Terdapat banyak riwayat tentang membaca Basmallah (Bismillah) sebelum berwudhuk tetapi semua riwayat-riwayat ini lemah – demikian menurut ahli-ahli hadits. Pada pandangan ulama ahli hadits, walaupun hadits-hadits ini dhaif (lemah), tetapi disebabkan banyak riwayatnya dan sejalan iaitu tidak bertentangan antara satu riwayat dengan riwayat yang lainnya maka ia menjadi kukuh dan menunjukkan amalan ini bukan tidak berdasarkan keterangan hadits. Ada ulama yang mengqiyaskan amalan ini dari sebuah hadits yang membawa pengertian umum (hadits yang tidak diceritakan tentang bab wudhuk) bahawa sunat membaca Basmallah tersebut, haditsnya berbunyi:

اِبْدَأُوا بِمَا بِدَأَ اللهُ بِهِ
“Mulailah dengan apa yang dimulai oleh Allah”. Hadits ini menurut Sayyid Sabiq adalah shahih. Sekianlah penjelasan dalam urusan membaca Basmallah dan terserahlah pada pembaca untuk memahami dan menghayati masalah ini.

Niat

Jika diteliti hadits-hadits darihal wudhuk maka kita akan dapati tiada satu pun keterangan daripada Rasulullah saw. yang menyuruh kepada berniat ketika berwudhuk. Ulama ahli Sunnah wal Jamaah telah mengqiyaskan hadits dari peristiwa hijrah yang berbunyi:

اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: اِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan setiap manusia akan mendapat menurut apa yang diniatkan. Diriwayatkan oleh Jamaah. Fathul Bary 1/9, Muslim VI/48, Mukhtashor Shahih Muslim/180.

Walaupun hadits ini diambil dari peristiwa ‘hijrah’ tetapi hadits ini membawa pengertian umum, tidak dinyatakan bahawa untuk hijrah semata-mata. Lalu apa yang dijadikan alasan oleh para ulama di atas urusan niat ini dapatlah diperjelaskan bahawa ianya adalah bersandarkan keterangan dari hadits Rasulullah saw. bukan hanya pendapat dari akal fikiran semata-mata. Maka dengan itu dapatlah difahami bahawa ibadah seperti thaharah (bersuci), solat, puasa, zakat dan lain-lainnya memerlukan niat. Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya “Majmu’atur Rasaailil Kubra 1/243 pernah menulis: Tempat niat itu ialah di hati tanpa di lidah (pengucapan). Demikian berdasarkan kesepakatan para Imam Muslimin dalam semua urusan ibadah.

Berkata imam-imam dari mahzab Syafei dari urusan niat ini:

الَنِّيَّةُ قُصْدُ شَيْءٍ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ
“Niat itu sengaja (berkehendak tanpa dipaksa) membuat sesuatu beserta dengan melakukannya.” Dan jika dirujuk / diteliti, tiada diperoleh lafaz niat di bab wudhuk dari kitab Imam As- Syafei sendiri. Maka, setelah merujuk hadits-hadits yang shahih dari bab wudhuk jangankan lafaz niat, hadits tentang niat yang diyakini wajib untuk sesuatu ibadah itu pun terpaksa diqiyaskan dari hadits hijrah, diatas tadi hanya keratan dan sekarang diberikan dalam riwayat yang lebih jelas:

اِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ اِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ اِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ اِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا اَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ اِلَى مَا هَاجَرَ اِلَيْهِ
“Setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan setiap manusia akan mendapat menurut apa yang diniatkan. Barang siapa hijrah kerana Allah dan RasulNya maka ia akan mendapat pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya, dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya menurut apa yang dia niatkan.” Hadits shahih riwayat Jama’ah.

Yang jelas apabila kita bertujuan melakukan sesuatu perbuatan seperti berwudhuk, sebenarnya telah terlintas di hati kita apa yang hendak kita lakukan. Bermula dari langkah kita ke tempat wudhuk, sebenarnya jika tujuan kita memang untuk berwudhuk, telah tersemat di hati tentang tujuan yang hendak kita lakukan, cuma kehendak itu perlu disertakan perbuatan untuk melengkapkan ertikata niat yang sebenar. Kita mengambil faham bahawa Rasulullah saw. tidak menjelaskan tentang niat di waktu wudhuk kerana seseorang yang pada keadaan sedar ingin berwudhuk tentulah didahului dengan kehendak, bila kehendak disertakan dengan perbuatan maka lengkaplah niat tersebut. Janganlah kita mencari jalan sukar dengan mengadakan muqaranah niat yang kemudiannya berpecah kepada muqaranah haqiqiyah dan ada muqaranah ‘urfiyah. Bila nak dirikan sembahyang atau berwudhuk maka kena isytiharkan niat, lalu muqaranahkan dengan perbuatan, yang akhirnya wudhuknya mungkin setengah jam masih belum selesai atau orang sudah selesai sembahyang berjemaah kita masih berulang-ulang kali mengulangi wudhuk kerana berperang dengan muqaranah niat.

Sesungguhnya perbuatan menokok tambah, yang asalnya mudah lalu di tambah itu dan ini sehingga menjadi sukar adalah satu kebodohan yang tidak lain akan menyebabkan orang itu terjerumus ke jalan kesesatan. Mereka mengadakan hadits-hadits palsu untuk dijadikan alasan. Sebuah hadits tentang ada lafaz niat ini yang berbunyi:

بَيْنَمَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم جَلَسَ مَعَ اَصْحَابِهِ فِى الْمَسْجِدِ اِذْ اَتَاهُ فَاطِمَةُ فَسَأَلَتْهُ عَنْ صَلاَةِ الْعَصْرِ فَقَالَ: قُوْلِيْ اُصَلِّىْ فَرْضَ الْعَصْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً لله تَعالَى وَقُولِيْ اُصَلِّىْ فَرْضَ الظُّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً لله تَعَالَى
Dikala Nabi saw. duduk beserta sahabat-sahabatnya di masjid, tiba-tiba datanglah Fatimah padanya, sambil bertanya dari hal solat ‘Asar. Maka beliau bersabda: Bilanglah engkau (begini): “Aku solat fardu ‘Asar empat rakaat tunai kerana Allah yang Maha Mulia.” dan bilanglah pula: “Aku solat fardu Zuhur empat rakaat tunai kerana Allah yang Maha Mulia.”
Kononnya hadits ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Inilah hadits maudhu’ atau hadits palsu juga dipanggil dengan nama hadits dusta. Tidak ada hadits yang berbunyi begini dalam Bukhari, Muslim atau mana-mana kitab baik yang riwayatnya shahih, hasan maupun yang dhaif kecuali dari kitab yang haditsnya diisytiharkan maudhu’ (palsu).

Kesimpulan tentang niat itu, setelah kita meneliti keterangan diatas, niat itu adalah wajib dan tempatnya di hati.

Comments

No response to “Permasalahan di dalam memahami ibadah menurut As-Sunnah 2”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger