Pengertian Mandi Janabah dan Perkara-Perkara yang Mewajibkannya (Siri 1)

Wednesday, May 20, 2009

Mandi Janabah
Mandi janabah atau lebih tepat jika kita ertikan bersuci dari hadas besar adalah satu amalan bersuci yang sangat penting bagi memastikan sahnya amalan-amalan seperti solat yang kita lakukan. Hendaklah dalam kita melakukan amalan mandi jenabah ini kita lakukan menepati Sunnah Rasulullah saw. Tidak boleh kita lakukan sewenang-wenangnya menurut hawa nafsu atau akal fikiran kerana Islam itu adalah pedoman yang diamanahkan kepada kita untuk dicontohi dan diamalkan, jika kita menolak atau ingkar dari mentaatinya maka kita tergolong dalam golongan orang yang kufur dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya kerana syariat itu adalah satu amanah dan perjanjian kita sebagai seorang Islam yang sepatutnya wajib kita laksanakan dan haram bagi kita menolak atau mengingkarinya. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 6 [5:6]:

وَإِن كُننتُمْ جُنُبًا فَاَطَّهَّرُواْ
“Dan jika kamu berjunub maka hendaklah kamu bersihkan (mandi jenabah)”

Dalam surah Al-Baqarah ayat 222 [2:222]:

وَيَسْئَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ اَلنِّسَآءَ فِى الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ
“Mereka bertanya kepada engkau berhubung haidh, katakanlah ia adalah kotoran, hendaklah kamu jauhi isteri ketika haidh (jangan menyetubuhinya) sehingga dia suci (setelah mandi jenabah)”

Perkataan الطُّهْر dalam ayat-ayat tadi bermakna “mandi jenabah”, ini beralasankan dengan ayat lain dalam surah An-Nisa’ ayat 43 [4:43]:

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَتَقْرَبُواْ الصَّلَوَةَ وَأَنتُمْ سُكَرَى حَتَّى تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُواْ
“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu berkata, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub kecuali sekadar berlalu saja hingga kamu manidi janabah”.

Perkara-perkara yang mewajibkan mandi janabah
1. Keluar mani dengan syahwat. Keluar air mani dengan syahwat di masa tidur (seperti bermimpi) dan berjaga, sama ada lelaki atau perempuan, adalah di antara perkara yang wajib padanya mandi jenabah seperti sabda Rasulullah saw:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص: اَلْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ، وَاَصْلُهُ فِى الْبُخَارِيِّ.
Dari Abi Sa’id al-Khudri, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: “Air itu dari air” Diriwayatkan oleh Muslim, tetapi asalnya di Bukhari. (ruj. Bulughul Maram)

Dalam riwayat lainnya sebagaimana diriwayatkan daripada Ali:

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ: كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ ص فَقَالَ: فِي الْمَذِيِّ الْوُضُوْءُ وَفِي الْمَنِيِّ الْغُسْلُ
Daripada Ali ia berkata: Aku adalah seorang lelaki yang banyak mengeluarkan madzi. Maka aku tanyakan pada Rasulullah saw maka beliau bersabda: Madzi hanya mewajibkan wudhuk dan mani itu mewajibkan mandi
Riwayat Ahmad, Tirmizi & Ibnu Majah. Hadits ini hasan shahih menurut Tirmizi

Pengertian hadits ini adalah mandi dengan air disebabkan keluarnya mani, tidak kira lelaki atau perempuan. Alasan lain tentang mimpi yang keluar padanya air mani dengan syahwat adalah:

عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: اِنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ حَكِيْمٍ سَأَلَتِ النَّبِيِّ ص عَنِ الْمَرْأَةِ تَرَى فِيْ مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ، فَقَالَ: اِذَا رَأَتِ الْمَاءَ فَلْتَغْتَسِلْ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Bahawa Khaulah binti Hakim bertanya pada Nabi saw darihal perempuan yang bermimpi sebagaimana bermimpinya lelaki (mimpi bersetubuh). Maka Nabi saw bersabda: Apabila dia melihat air (mani), hendaklah ia mandi. Riwayat Nasaie dengan darjat shahih

Bersandarkan pada hadits di atas, dapat kita simpulkan beberapa perkara:
o Seorang lelaki atau perempuan yang bermimpi lalu keluar air mani maka wajib ke atasnya mandi janabah.
o Adapun jika ia bermimpi tetapi tidak keluar mani maka yang demikian itu tidak mewajibkan mandi janabah.
o Jika ia merasakan basah ketika bangun dari tidur tetapi tidak ingat bahawa ia bermimpi, jika ia yakin itu adalah mani maka wajib ia mandi janabah.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa perkara-perkara yang dibincangkan dalam bab ini kurang sesuai didedahkan secara terbuka, satu perkara yang lazimnya diselindungkan dan tidak ingin dibincangkan terutama kepada anak-anak. Maka renungkanlah sepotong hadits dalam shahih Muslim:

سَأَلَتْ اُمُّ سُلَيْمٍ نَبِيَّ الله ص عَنِ الْمَرْأَةِ تَرَى فِيْ مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ، فَقَالَ رَسُوْلُ الله ص اِذَا رَأَتْ ذَلِكَ الْمَرْأَةُ فَلْتَغْتَسِلْ. فَقَالَتْ اُمُّ سُلَيْمٍ وَاَسْتَحْيَيْتُ مِنْ ذَلِكَ، قَالَتْ وَهَلْ يَكُوْنُ هَذَا؟ فَقَالَ نَبِيُّ الله ص نَعَمْ فَمِنْ اَيْنَ يَكُوْنُ الشَّبَهُ اِنَّ مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيْظٌ اَبْيَضُ وَمَاءَ الْمَرْأَةِ رَقِيْقٌ اَصْفَرُ فَمِنْ اَيِّهِمَا عَلاَ اَوْ سَبَقَ يَكُوْنُ مِنْهُ الشَّبَهُ
Bertanya Ummu Sulaim kepada Nabi saw darihal wanita yang bermimpi ketika tidur seperti lelaki bermimpi (keluar mani). Jawab Rasulullah: Apabila perempuan itu memang keluar mani maka hendaklah ia mandi. Kata Ummu Sulaim: Aku sebenarnya malu bertanyakan masalah ini kepada beliau, apakah mani itu memang ada (bagi wanita)? Jawab Nabi saw: Ya, ada. Mani lelaki kental berwarna putih dan mani perempuan agak cair berwarna kekuning-kuningan. Kalau tidak ada, bagaimana seorang anak boleh serupa dengan orang tuanya. Siapa yang maninya lebih unggul, maka anaknya serupa dengan dia. Hadits shahih Muslim

Dalam lafaz lainnya bagi Muslim:

يَا رَسُوْلَ الله اِنَّ اللهَ لاَ يَسْتَحْيِى مِنَ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ اِذَا احْتَلَمَتْ؟....
Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu pada yang haq (benar). Apakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi?...............

Berkata Aisyah perihal wanita Anshar yang bertanyakan Nabi saw tentang cara mandi haidh:
قَالَتْ عَائِشَةُ: نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ اَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّيْنِ
Berkata Aisyah: Sebaik-baik wanita ialah wanita Anshar. Mereka tidak malu-malu bertanya kalau untuk mendalami agama Riwayat shahih Muslim

Sesungguhnya perkara agama itu berkaitan dengan syariat Allah. Jahil tentangnya bermakna jahil tentang syariat Allah. Maka oleh kerana itu, perlu untuk kita mengetahui dengan benar dengan teliti ketetapan-ketetapan syara'. Malu untuk bertanya hanya akan menyebabkan kejahilan yang akhirnya membawa kita kepada kerugian.

2. Bersetubuh. Maka ada pertikaian tentang orang yang bersetubuh yang tidak keluar air maninya bahawa ada yang mengambil faham tidak perlu kepada mandi jenabah, untuk penjelasan itu saya bawakan keterangan dari Rasulullah saw untuk rujukan kita bersama. Sabda Rasulullah saw:

اَنَّ رَسُوْلَ الله ص قَالَ: اِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ اَنْزَلَ اَمْ لَمْ يُنْزِلْ
Bahawa bersabda Rasulullah saw: Jika seseorang telah berada di antara empat cabangnya (dua tangan dan dua kaki seorang perempuan) lalu menyetubuhinya maka wajiblah mandi, biar keluar mani atau tidak
Riwayat Ahmad & Muslim

Sebuah hadits lagi:

اِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ وَجَبَ الْغُسْلُ. (ح.ص.ر الترمذي)
“Apabila kemaluan melalui kemaluan, maka wajib mandi.”
Riwayat Tirmizi dengan darjat shahih

Dari dua alasan di atas mudah-mudahan jelas bagi kita bahawa apabila berlaku persetubuhan tak kira sama ada terpancar air mani atau tidak, maka wajib mandi. Inilah alasan yang kukuh sepanjang pencarian saya dalam bab ini.

3. Keluar darah haidh atau nifas. Kita semak semula dari hal haidh, di mana sekarang ini banyak anak gadis yang keliru dan menjadikan alasan haidh sebagai keuzuran dalam ibadah terutamanya solat (sembahyang). Ada yang kalau ditanya mengapa tidak sembahyang? Jawab mereka uzur! Jadi jika sampai tiga minggu masih juga dengan alasan uzur maka wajarlah kita sebagai ibu bapa atau orang yang lebih dewasa menerangkan perkara yang sebenar. Jangan dibiarkan anak-anak kita, adik-adik kita menjadikan alasan haidh untuk tidak menyempurnakan ibadah kerana tidak memahami masalah yang sebenar. Dari Aisyah:

عَنْ عَائِشَةَ اَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ اَبِيْ حُبَيْشٍ كَانَتْ تُسْتَحَاضُ، فَقَالَ لَهَا رَسُوْلُ اللهِ ص (اِنَّ دَمَ الْحَيْضِ دَمٌ اَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَاِذَا كَانَ ذَلِكَ فَاَمْسِكِيْ عَنِ الصَّلاَةِ، فَاِذَا كَانَ اْلآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ) رَوَاهُ اَبُو دَاوُدَ وَ النَّسَائِيُّ وَ صَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ وَالْحَاكِمُ، وَاسْتَنْكَرَهُ اَبُو حَاتِمٍ.
Dari Aisyah, bahawasanya Fatimah binti Hubaisy biasa istihadhah, maka Rasulullah saw bersabda kepadanya: “Sesungguhnya darah haidh itu darah hitam yang terkenal. Maka apabila ada begitu, berhentilah dari sembahyang, tetapi jika ada yang lain, berwudhu’ dan solatlah.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasai dan disahkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim, tetapi dianggapnya mungkar oleh Abu Hatim. Penganggapan mungkar di atas hadits tersebut dibantah oleh Ibnu Qayyim. Hadits itu sah dan sejalan dengan hadits lain yang Mutaffaq’alaih. Rujukan Bulughul Maram.

Hadith seterusnya:

عَنْ حُمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ قَالَتْ: كُنْتُ اُسْتَحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً، فَاَتَيْتُ النَّبِيَّ ص اَسْتَفْتِيْهِ. فَفَالَ: اِنَّمَا هِيَ رَكْضَةٌ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ اَيَّامٍ، اَوْ سَبْعَةَ اَيَّامٍ، ثُمَّ اغْتَسِلِيْ، فَاِذَا اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّيْ اَرْبَعَةً وَعِشْرِيْنَ، اَوْ ثَلاَثَةً وَ عِشْرِيْنَ، وَ صُوْمِيْ وَ صَلِّيْ، فَاِنَّ ذَلِكَ يُجْزِئُكِ، وَكَذَلِكِ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا تَحِيْضُ النِّسَاءُ، فَاِنْ قَوِيْتِ عَلَى اَنْ تُؤَخِّرِى الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلِى الْعَصْرَ، ثُمَّ تَغْتَسِلِيْ حِيْنَ تَطْهُرِيْنَ، وَتُصَلِّى الظُّهْرَ وَ الْعَصْرَ جَمِيْعًا، ثُمَّ تُؤَخِّرِيْنَ الْمَغْرِبِ وَ تُعَجِّلِيْنَ الْعِشَاءَ، ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ، فَافْعَلِيْ، وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ الصُّبْحِ وَتُصَلِّيْنَ. قَالَ: وَهُوَ اَعْجَبُ اْلاَمْرَيْنِ اِلَيَّ. رَوَاهُ اْلخَمْسَةُ اِلاَّ النَّسَئِيَّ، وَ صَحَّحَهُ التِّرْمِذِيُّ، وَ حَسَّنَهُ اْلبُخَارِيُّ.
Dari Humnah binti Jahsy, ia berkata: “Saya pernah istihadhah yang banyak (dan) keras, saya datang kepada Nabi saw meminta fatwa kepadanya, maka sabdanya: “Yang demikian hanya satu gangguan dari syaitan. Oleh itu hendaklah engkau berhaidh enam atau tujuh hari kemudian engkau mandi. Maka apabila engkau sudah bersih, solat 24 atau 23 hari, dan berpuasalah dan solatlah (sunat), kerana yang demikian itu cukup buatmu, dan berbuat demikian tiap-tiap bulan sebagaimana perempuan-perempuan berhaidh, tetapi jika engkau kuat buat mentakhirkan Zohor dan mentaqdimkan Asar, kemudian engkau mandi ketika engkau bersih, lalu engkau jamak solat Zohor dan Asar, kemudian engkau takhirkan Maghrib dan taqdimkan Isyak, kemudian engkau mandi, kemudian engkau jamakkan dua solat itu, berbuatlah; dan engkau mandi beserta Subuh dan engkau solat. Sabdanya: “Dan yang demikian perkara yang lebih aku sukai dari yang lainnya”.
Diriwayatkan oleh lima kecuali Nasaie dan disahkan oleh Tirmizi dan Bukhari menghasankannya.
(Lima itu maksudnya diriwayatkan hadits ini oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah)

Sebenarnya waktu bagi haidh itu tidak ditentukan oleh Nabi saw secara tetap lalu ulama-ulama mengambil pendapat bersandar hadith-hadith dari hal haidh bahawa haidh itu kadar biasanya seminggu, 6-7 hari dan selebih-lebihnya 15 hari. InsyaAllah kita akan sambung lagi bab ini dengan lebih terperinci dalam siri yang berikutnya.


Sumber: Koleksi teks kuliah mingguan Persatuan Al-Islah, Perlis

Comments

No response to “Pengertian Mandi Janabah dan Perkara-Perkara yang Mewajibkannya (Siri 1)”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger