Persoalan Sekitar Orang Yang Berjunub & Wanita Berhaidh Membaca Al-Quran

Friday, February 5, 2010

Bolehkah wanita/perempuan yang berhaidh itu membaca Al-Quran? Maka dalam hal ini terdapat beberapa pandangan ulama; ada yang mengatakan boleh membaca ayat-ayat Al-Quran semasa berhaidh dan ada pula yang mengatakan tidak boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Saya cuba bentangkan alasan-alasan tentang hal ini untuk kita rujuk bersama. Sekiranya saya tersilap atau keliru maka perbetulkan dan sama-samalah kita mencari satu keterangan dari Al-Quran dan hadits yang lebih tepat dan terang. Sekarang marilah kita merujuk beberapa hadits di bawah ini:

(1)
قَالَ ابْنُ عُمَرَ: قَالَ النَّبِيُّ ص: لاَ يَقْرَأُ الْجُنُبُ وَلاَ الحاَئِضُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنَ
Telah berkata Ibnu Umar, sabda Nabi saw: “Jangan orang yang berjunub dan perempuan yang berhaidh membaca sesuatu pun dari Al-Quran”.
Hadits riwayat Abu Daud, Turmidzi dan Ibnu Majah.

(2)
قَالَ جَابِرٌ: قَالَ النَّبِيُّ ص: لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ النُّفَسَاءُ مِنَ الْقُرْآن شَيْئًا
Telah berkata Jabir, sabda Nabi saw: “Perempuan yang berhaidh dan bernifas tidak boleh membaca akan sesuatu daripada Al-Quran”.
Hadits riwayat Daruquthni.

Maka bersandarkan hadits-hadits di atas, ada ulama yang mengambil faham bahawa tidak boleh membaca Al-Quran bagi perempuan yang berhaidh, nifas dan orang yang berjunub (yang telah bersetubuh atau keluar mani dengan cara bermimpi atau sebagainya dan belum mandi jenabah).

Sekarang kita lihat kekuatan hadits ini dahulu dan masalah-masalah yang ada pada hadits tersebut:

1) Sebahagian ulama ahli hadits menolak hadits ini (pertama) kerana lemahnya. Alasan mereka hadits yang pertama itu terdapat orang yang bernama Ismail bin ‘Ayash. Imam Ahmad, Bukhari dan lain-lain ulama memandang terdapat kecacatan atau kelemahan pada orang yang bernama Ismail bin ‘Ayash ini. Menurut Al-Baihaqi: Hadits ini mungkar.
2) Manakala dalam hadits kedua terdapat Muhammad bin Fadhil, seorang yang terkenal sebagai pemalsu hadits (hadits palsu atau hadits maudhu’). Hadits ini juga mungkar.

Maka kita dapati kedua hadits di atas adalah hadits yang bermasalah dan tak layak dijadikan alasan untuk mengatakan perempuan yang berhaidh tidak boleh membaca Al-Quran. Dalam pencarian saya tidak satu pun hadits dalam urusan ini yang bersih dari pertikaian ulama ahli hadits. الله اعلم

Alasan seterusnya tentang orang yang berhadas tidak boleh membaca Al-Quran adalah:

(3)
قَالَ عَلِيُّ بْنِ اَبِى طَالِبٍ: كَانَ رَسُول اللهِ ص يُقْرِأُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَالَمْ يَكُنْ جُنُبًا
Telah berkata Ali bin Abi Talib, adalah Rasulullah saw sering membacakan untuk kami akan Al-Quran di segala keadaan selama beliau tidak berjunub.
Hadits riwayat Tirmidzi dan beliau sahkan hadits ini sebagai hasan lagi sahih. Kata Asy-Syafie: Segala hadits tidak mengisbatkan hadits ini. Berkata Al-Khatthabi: Imam Ahmad melemahkan hadits ini. Berkata An-Nawawi: Kebanyakan ahli hadits menentang pentashihan At-Tirmidzi ini.

Dan dalam hadits yang lain pula Rasulullah saw bersabda:

(4)
قَالَ عَلِيٌّ: قَالَ النَّبِيُّ ص: اِقْرَؤُا الْقُرْآنَ مَالَمْ تُصِبْ اَحَدَكُمْ جَنَابَةٌ فَاِنْ اَصَابَتْهُ فَلاَ وَلَوْ حَرْفًا
Berkata Ali bahawa Nabi saw pernah bersabda: “Bacalah kamu akan Al-Quran selama seorang daripada kamu tidak berjenabah, maka jika berjenabah, tidak boleh walaupun satu huruf”. Hadits riwayat Daruquthni.

Jika dua hadits yang sebelumnya ada menerangkan tentang haidh dan kita ketemukan masalah dari ulama-ulama ahli hadits tentangnya, maka dua hadits yang kemudian ini pula menerangkan tentang orang yang berjunub. Ini adalah antara alasan segolongan ulama tentang tidak boleh orang yang berjunub membaca Al-Quran. Sebagai umat Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat wajib bagi kita untuk mendalami ilmu dalam melaksanakan amal ibadah, seharusnyalah kita halusi setiap amalan kita dengan ilmu yang berdasarkan dari Al-Quran dan Sunnah Rasul, semoga kita berada dalam keredhaan Allah dan tidak termasuk dalam golongan yang berilmu dengan jalan taklied kepada ulama dan ustaz.

Kita mulakan dari hadits Ali bin Abi Talib (3).
Berkata Imam Syafei: (اِنَّ اَهْلَ الْحَدِيْثِ لاَ يُثْبِتُونَهُ) “Bahawa ahlul-hadits tidak bersama dalam menetapkan sahnya (hadith ini). Isnad hadits ini dibantah oleh Imam Syafei lantaran hanya disahkan oleh Tirmidzi sahaja dan tiada ulama-ulama hadits yang terdahulu darinya menurut Imam Syafei yang mengesahkannya, sedangkan dia terbelakang dari mereka dari banyak hal dalam urusan ilmu hadits.

Berkata Imam Nawawi: (خَالَفَ التُّرْمِذِيَّ الاَكْثَرُونَ فَضَعَّفُوا هَذَا الْحَدِيْثَ) “Kebanyakan ahli hadits berlainan dengan Tirmidzi; dan mereka mendhaifkan hadits tersebut”. Hadits ini dipandang lemah oleh ulama ahli hadits kerana terdapat seorang yang bernama Abdullah bin Salimah dan dia telah dilemahkan oleh ahli-ahli hadits kerana ingatannya yang berubah atau telah lemah daya ingatan (demikian oleh Baihaqi) kerana sewaktu meriwayatkan hadits ini beliau telah tua (tambahan dari Imam Syu’bah).

Telah jelas hadits ini bermasalah dan dilemahkan ia oleh sekian banyak ulama hadits dan kekuatan sah dari Turmidzi seorang sahaja, tidak dapat dijadikan alasan bahawa hadits itu kuat untuk dibuat dalil mengatakan orang yang berhaidh atau berjunub tidak boleh membaca Al-Quran. Jika hadits ini sahih sekalipun ia masih tetap tidak boleh dijadikan dalil kerana perkataan Ali itu tidak menunjukkan Rasulullah saw melarang membaca Al-Quran.

Berbalik kita pada hadits yang keempat iaitu menurut ulama hadits ianya mauquf, iaitu tidak sampai pada Nabi saw, hanya perkataan Ali sahaja dan tidak cukup untuk menjadi hujah kerana ada hadits lain yang sahih. Dalam bab ini ada hadits Ali yang terus atau sampai kepada Nabi saw (marfu’), dan inilah satu-satunya hadits yang boleh dikatakan tidak dipertikaikan sahnya, tidak dipertikaikan isnadnya dan tidak ada seorang ahli hadits pun yang melemahkan sanadnya. Haditsnya ialah:

(5)
قَالَ عَلِيٌّ: رَاَيْتُ رَسُولَ اللهِ ص تَوَضَّأَ ثُمَّ قَرَأَ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ. ثُمَّ قَالَ: هَكَذَا لِمَنْ لَيْسَ بِجُنُبٍ فَاَمَّا الْجُنُبُ فَلاَ وَلاَ آيَةً.
Telah berkata Ali: “Saya pernah lihat Rasulullah saw berwudhuk, kemudian membaca sebahagian daripada Quran (dan bersabda): Beginilah bagi orang yang tiada junub. Adapun yang junub, tidak boleh walaupun satu ayat”.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’laa dan dikatakan oleh seorang ahli hadits yang bernama Al-Haitami bahawa hadits itu (رجاله موثوقون) “Orang-orang yang menceritakan hadits ini boleh dipercaya.

Seterusnya kita lihat hadits-hadits yang lain dalam bab ini:

(6)
قَالَتْ عَائِشَةُ: كَانَ رَسُولُ اللهِ ص يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ اَحْيَانِهِ
Telah berkata Aisyah, Rasulullah saw itu menyebut (nama Allah) di tiap-tiap masa.
Diriwayatkan oleh Muslim.

Hadits ini menjelaskan bahawa Aisyah selaku isteri Nabi saw melihat baginda menyebut nama Allah di tiap-tiap masa. Sebagai isteri seorang Rasul, beliau lebih dekat untuk mengetahui junubkah atau tidak Rasulullah saw. Tidak ada satupun hadits sahih yang meriwayatkan dari isteri-isterinya (Rasulullah) bahawa wanita berhaidh tidak boleh membaca Al-Quran sedangkan sekian banyak permasalahan haidh ini diambil dari isteri-isterinya, jika ada mengapa tidak ada riwayatnya?

Untuk menjelaskan lagi masalah membaca Al-Quran semasa berhadas besar atau berhaidh ini marilah kita lihat pengalaman sahabat-sahabat yang rapat dengan Rasulullah saw dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari:

(7)
اِنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ لَمْ يَرَ بِالْقِرَاءَةِ لِلْجُنُبِ بَأْسًا
Bahawa Ibnu Abbas itu tiada memandang halangan bagi orang yang berjunub membaca (Al-Quran).

Dan seorang sahabat Nabi saw yang bernama Hakam berkata:

(8)
قَالَ الْحَكَمُ: اِنِّ لاََََذْبَحُ وَاَنَا جُنُبٌ وَقَالَ اللهُ: وَلاَ تَأْكُلُوْا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللهِ
Telah berkata Hakam: “Sesungguhnya saya menyembelih, padahal saya di waktu junub, kerana Allah berfirman: Janganlah kamu memakan (sembelihan) yang tidak disebut nama Allah”. Diriwayatkan oleh Bukhari.

Ada lagi riwayat hadits dari Bukhari:

(9)
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: اَخْبَرَنِي اَبُو سُفْيَانَ اَنَّ هِرَقْلَ دَعَا بِكِتَابِ النَّبِيِّ ص فَقَرَأَهُ فَاِذَا فِيْهِ: بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ، يَآ اَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا اِلَى كَلِمَةٍ....
Berkata Ibnu Abbas: Abu Sufyan memberi khabar kepada saya, bahawa Hiraklus pernah meminta surat yang dari Nabi saw kemudian ia bacakan dia, maka di situ ada (firman Allah): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Wahai Ahlul Kitab marilah kepada Agama …..- Surah Ali Imran ayat 64 [3:64]”

Hiraklus atau ada yang memanggil Hirkulis ini beragama Kristian, dan kita tidak bertemu keterangan orang Kristian melakukan kewajipan mandi jenabah. Dan apabila diberikan surat yang di dalamnya terkandung isi ayat Al-Quran, pada lazimnya orang yang mendapat surat akan membaca surat tersebut dan jika ada larangan membaca Al-Quran bagi orang yang berhaidh atau berjunub mengapa Rasulullah saw berikan surat yang berisikan ayat Al-Quran kepada Hiraklus?

Kesimpulan darihal permasalahan adakah dilarang membaca Al-Quran semasa haidh, maka saya jelaskan bahawa tidak ada keterangan yang sahih pun di atas bab ini. Apabila hadits yang pertama dan kedua didhaifkan dan pada hadits kedua pula ada Muhammad bin Fadhil yang terkenal di kalangan ahli hadits sebagai tukang pemalsu hadits, maka masalah ini telah selesai di awal-awal tajuk ini lagi.

Apa yang kita rujuk bermula dari hadits 3 sehingga akhir adalah dari bab junub yang sengaja saya panjangkan untuk memberi satu kefahaman dalam mendalami masalah junub beserta alasannya/keterangannya sama ada boleh atau tidak jika kita dalam keadaan berjunub membaca Al-Quran. Dan dari semua alasan yang ada dari hal tidak boleh membaca Al-Quran dalam keadaan berjunub ini hampir semuanya bermasalah kecuali hadits yang kelima iaitu yang diriwayatkan oleh Abi Ya’laa dan disahkan oleh Imam yang tidak begitu terkemuka seperti Imam Haitami sehingga pengarang kitab Nailul Authar sendiri masih belum berani menganggap hadits itu sah. Jadi hadits yang satu ini pun juga, tidak terlepas dari bermasalah.

Hadits-hadits yang disahkan oleh Bukhari / Muslim, boleh diterima sahnya, sesudah mereka boleh diterima pengesahan Ahmad bin Hanbal, kemudian pengesahan Abu Daud, kemudian pengesahan Nasai, Turmidzi dan Ibnu Majah.

Adapun hadits-hadits yang disahkan oleh Ibnu Khuzaimah sering terdapat tidak sah. Pengesahan Ibnu Hibban lebih sering terdapat kelemahan. Yang lebih banyak mengesahkan dan lebih banyak salahnya ialah Hakim.

Kesimpulannya, setelah kita meneliti alasan-alasan dalam bab ini, maka dapat dirumuskan bahawa orang yang berhaidh/ berjunub/ nifas boleh membaca Al-Quran kerana tidak terdapat tegahan yang qa’thi (قعطي) dalam bab ini (lemahnya hadits-hadits dalam bab ini). Tiada nas yang jelas lagi terang atas bab ini.

Adalah lebih baik kita berpedomankan hadits yang diriwayatkan dari sahabat-sahabat Rasulullah saw tentang amalan mereka semasa sezaman dengan Rasulullah dan amalan Aisyah semasa bersama Rasulullah saw dalam soal ini. Jika ada tegahan atau haram membacanya mengapa mereka masih membaca ayat Al-Quran dalam keadaan berjunub
sedangkan mereka rapat dengan Nabi saw.
الله اعلم

Sumber: Koleksi kuliah mingguan Persatuan Al-Islah, Perlis

Comments

No response to “Persoalan Sekitar Orang Yang Berjunub & Wanita Berhaidh Membaca Al-Quran”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger