Mandi Janabah 4

Friday, February 5, 2010

Soalan : Bolehkah orang yang datang haid / berjunub memegang Al-Quran ?

Terdapat segolongan ulama yang berpandangan tidak boleh memegang Al-Quran jika tidak ada wudhuk, jika dalam keadaan hadas besar atau berhaid di mana lazimnya mereka berdalilkan dengan ayat Al-Quran yang berbunyi :

لاَيَمَسُّهُ اِلاَّ الْمُطَهَّرُوْنَ
“Tidak menyentuh (memegang ) kepada Al-Quran, melainkan orang orang yang suci.” Q.S. Al-Waaqi'ah ayat 79 [56:79]

Mereka juga berdalilkan dengan sepotong hadits yang berbunyi:

قَالَ حَكِيْمُ بْنُ حِزَامٍ: لَمَّا بَعَثَنِيْ رَسُوْلُ الله ص اِلَى الْيَمَنِ قَالَ " لاَ تَمَسَّ الْقُرْآنَ اِلاَّ وَاَنْتَ طَاهِرٌ "
Berkata Hakim bin Hizam: Ketika Rasulullah saw mengutusku ke Yaman, beliau bersabda "Jangan engkau menyentuh Al-Quran melainkan engkau dalam keadaan suci".

Inilah tafsiran yang dipegang oleh sebahagian umat Islam, di mana bagi mereka kalimah طَاهِرٌ / المُطَهَّرُوْنَ itu membawa maksud ‘ orang orang yang suci’. Lalu mereka mengambil faham tidak boleh memegang Al-Quran jika tidak ada wudhuk atau berhaid atau dalam keadaan junub. Betulkah begitu tafsirannya ?

Sebelum kita perincikan pada makna kalimah طَاهِرٌ ، المُطَهَّرُوْن , terlebih dahulu kita lihat apakah nilaian ulama darihal hadits Hakim bin Hizam di atas;
Hadits ini diriwayatkan oleh Imam Ad-Daruquthnie, Al-Hakim, Al-Baihaqi dari 'Amr bin Hazm dan diriwayatkan juga oleh Imam Thabranie dari Hakim bin Hizam (hadits di atas). Dalam hadits ini terdapat perawi yang bernama Suwaid Abu Hatim di mana ia dilemahkan oleh Bukhari, Nasaie, Abu Zar'ah dan berkata Ibnu Hibban: Dia (Suwaid Abu Hatim) sering meriwayatkan hadits-hadits yang palsu. Hadits-hadits yang berkaitan bab ini adalah dari hadits-hadits yang dipertikaikan sahnya oleh ulama hadits, maka hadits Hakim bin Hizam di atas adalah tertolak, tidak dapat digunakan sebagai hujah.

Apakah tafsiran sebenar kalimah المُطَهَّرُوْن ?
Menurut ilmu 'ushul fiqh', perkataan طَاهِرٌ (suci) itu dikatakan lafaz musytarak (mempunyai beberapa erti yang berlainan). Kita lihat maknanya dari beberapa sudut:

1. Orang Islam itu dikatakan 'thahir' (suci/bersih) sedang orang musyrik itu disebut sebagai najis. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 28 [9:28]

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اِنَّمَا الْمُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُوْا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا ......
Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis kerana itu jangan mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini ………

Dalam sepotong hadits, dinyatakan bahawa orang Islam itu tidak bernajis walau ia berhadas besar. Sabda Rasulullah saw.:

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَنِ اِنَّ رَسُوْلَ الله ِص لَقِيَهُ وَهُوَ جُنُبٌ فَحَادَ عَنْهُ فَقَالَ: كُنْتُ جُنُبًا فَقَالَ: اِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجَسُ (حديث صحيح رواية الجماعة الا البخاري والترمذي)
Dari Huzaifah Ibnu-Yaman, bahawa Rasulullah saw. itu berjumpa dengan dia, sedang dia itu berjunub, lalu dia menjauhkan diri daripadanya, kemudian ia berkata : Saya tadi ada berjunub. Maka beliau bersabda : Sesungguhnya orang Islam itu tidak najis.”
Hadits sahih riwayat Jamaah, melainkan Bukhari dan Tirmidzi.

Jika kita mengambil erti 'thahir' dari sudut yang pertama ini, dapat difahami bahawa Al-Quran itu tidak boleh disentuh oleh orang kafir dan boleh disentuh oleh orang Islam walau ia berhadas.

2. Dari sudut kedua, orang yang bersih badannya dari najis dinamakan 'thahir' (bersih). Ini telah disetujui dan diterima oleh sekalian ulama bahawa orang yang tidak bernajis badannya disebut 'thahir' (bersih). Jika kita mengambil makna yang kedua, dapat difahami Al-Quran itu boleh disentuh oleh sesiapa sahaja sama ada Islam atau bukan Islam asal badannya bersih dari najis.

3. Dari sudut ketiga, orang yang bersih/suci dari hadas besar dinamakan 'thahir'. Ini kerana Allah telah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 6 [5:6]:

وَاِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوْا
Dan jika kamu berjunub maka bersihkanlah (dengan mandi janabah)

Jika diambil erti dari sudut ketiga ini, dapat difahami orang yang berhadas itu tidak boleh menyentuh Al-Quran.

4. Dari sudut keempat, orang yang tidak berhadas kecil disebut 'thahir'. Ini beralasankan hadits Ibnu Umar, ia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ ص يَتَوَضَّأُ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ طَاهِرًا اَوْ غَيْرَ طَاهِرًا
Adalah Nabi saw berwudhuk pada tiap-tiap solat sama ada beliau itu thahir atau tidak thahir Hadits shahih riwayat Jamaah kecuali Muslim

Dari sudut ini, dapat difahami erti thahir itu adalah bersih dari hadas kecil yang bermakna Al-Quran itu tidak boleh disentuh oleh mereka yang berhadas kecil.

Daripada beberapa penilaian di atas, kita dapati lafaz 'thahir' itu sekurang-kurangnya mempunyai empat erti yang berlainan dan setiap erti itu tidak dapat kita tentukan dengan jelas kerana masing-masing erti itu masih terdapat persoalan padanya. Maka bagaimanakah untuk kita mendapatkan makna sebenar kalimah المطهرون ?

Maka perlu kita kembali kepada penjelasan Rasulullah saw. di atas masalah adakah orang orang yang berjunub atau berhaid itu kotor atau najis. Sabda Rasulullah saw.:

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَنِ اِنَّ رَسُوْلَ الله ِص لَقِيَهُ وَهُوَ جُنُبٌ فَحَادَ عَنْهُ فَقَالَ: كُنْتُ جُنُبًا فَقَالَ: اِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجَسُ (حديث صحيح رواية الجماعة الا البخاري والترمذي)
Dari Huzaifah Ibnu-Yaman, bahawa Rasulullah saw. itu berjumpa dengan dia, sedang dia itu berjunub, lalu dia menjauhkan diri daripadanya, kemudian ia berkata : Saya tadi ada berjunub. Maka beliau bersabda : Sesungguhnya orang Islam itu tidak najis.”
Hadits sahih riwayat Jamaah, melainkan Bukhari dan Tirmidzi.

Seterusnya sebuah hadits lagi yang berbunyi :

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ اَنَّ النَِّبيَّ ص لَقِيَهُ فَيْ بَعْضِ طُرُقِ الْمَدِيْنَةِ فَانْخَنَسَ مِنْهُ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ فَقَالَ لَهُ: اَيْنَ كُنْتَ يَا اَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ: كُنْتُ جُنُبًا فَكَرِهْتُ اَنْ اُجَالِسُكَ وَاَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ فَقَالَ: سُبْحَانَ اللهِ اِنَّ الْمُؤْمِنَ لاَ يَنْجَسُ (حديث صحيح رواية الجماعة)
“Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw. pernah berjumpa dengan dia pada suatu jalan di Madinah, kemudian dia menjauhi diri daripadanya, dan ia pergi terus mandi, kemudian beliau (Rasulullah saw.) bertanya : Ya Abu Hurairah ! Ke mana engkau tadi ? Jawabnya : Saya tadi berjunub, dan saya tidak suka duduk dengan tuan! Sedang saya itu tiada bersih, maka beliau bersabda : Subhanallah ! Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” Hadits sahih riwayat Jamaah.

أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ مِنْهُمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا ، وَلَمْ يُجَامِعُوهَا. وَلَقَدْ سَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِىِّ ص فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّوَجَلَّ {وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ اْلمَحِيْضِ قُلُ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسآءَ فِى المَحِيْضِ وَلاَتَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللهُ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ} فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ص: إِصْنَعُوا كُلَّ شَيْئٍ إِلاَّ النِّكَاحَ ، وَفِى لَفْظٍ ، إِلاَّ الْجِمَاعَ.
“Bahawa orang-orang Yahudi bila ada perempuan mereka yang haidh, tidaklah mereka bawa ia makan bersama dan tidak pula mereka campuri. Hal itu ditanyakan oleh sahabat Nabi saw, maka Allah swt pun menurunkan ayat (yang bermaksud):
“Mereka bertanyakan kepadamu mengenai haidh. Katakanlah bahawa itu kotoran maka jauhilah perempuan-perempuan itu di waktu mereka haidh, dan janganlah dekati mereka sampai mereka suci! Dan jika mereka telah suci, bolehlah kamu mencampuri mereka sebagaimana diperintahkan oleh Allah. Sungguh Allah itu mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersuci”. (Al-Baqarah:222)
Maka ulas Rasulullah saw: Perbuatlah segala sesuatu kecuali kahwin! Dan menurut kata-kata lain ‘kecuali bersetubuh’ ”.
Diriwayatkan oleh Jamaah kecuali Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ اَنَّهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُوْلُ الله ص يَتَّكِئُ فِيْ حِجْرِيْ وَاَنَا حَائِضٌ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ
Daripada Aisyah ia berkata: Adalah Rasulullah saw duduk menyandar padaku lalu dia membaca Al-Quran sedang aku (dalam keadaan) haidh Riwayat Muslim

Dari keterangan hadits-hadits tadi jelas orang mukmin itu sama ada berjunub atau berhaid tidaklah di kira kotor atau najis ianya tetap bersih dan suci. Bagi mendapatkan satu keterangan yang jelas, perlu kita renungkan ayat-ayat secara lengkap keseluruhan ceritanya sebagaimana tersebut dari surah Al-Waaqi'ah ayat 77-80 :

ِانَّهُ لَقُرْاَنٌ كَرِيْمٌ * فِيْ كِتَابٍ مَكْنُوْنٍ * لاَ يَمَسُّهُ اِلاَّ الْمُطَهَّرُوْنَ * تَنْزِيْلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالمَيِْنَ
“Sesungguhnya itulah Al-Quran yang mulia, dalam kitab yang terpelihara (iaitu Al-Lauhil-Mahfuzh) tiada yang menyentuhnya melainkan mereka yang suci, diturunkan daripada Tuhan sekelian alam.” Q.S. Al-Waaqi'ah ayat 77-80 [56:77-80]

Lafaz اَلْمُطَهَّرُوْنَ‘muthahharuun’ itu, menurut keterangan yang lebih kuat maknanya adalah malaikat bukan manusia. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Abbas dalam tafsir ayat di atas, demikianlah juga pandangan daripada Anas, Mujahid, Ikrimah, Said bin Jubair dan lain-lainnya. Berkata Ibnu Jarir: Tidak disentuh Al-Quran di sisi Allah itu melainkan mereka yang suci, adapun di dunia, ia (Al-Quran) disentuh oleh Majusi yang bernajis dan (golongan) munafiq yang kotor. Ayat ini adalah untuk menolak dakwaan orang kafir bahawa Al-Quran itu diturunkan kepada Rasulullah saw. oleh syaitan bukannya dari Allah. Dinyatakan dalan surah Asy-Syu'araak ayat 210-212 [26:210-212]

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِيْنُ * وَمَا يَنْبَغِى لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيْعُوْنَ * اِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُوْلُوْنَ
Dan Al-Quran itu bukanlah diturunkan oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Quran itu dan mereka pun tidak akan berkuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al-Quran itu.

Lalu Allah menurunkan ayat ini sebagai penjelasan menafikan dakwaan yang terang dusta itu. Untuk lebih lanjut, rujuk Tafsir Al-Quran al-Adzim oleh Ibnu Katsier pada tafsiran ayat 77-80 surah Al-Waaqi'ah.

Jadi firman Allah : لاَ يَمَسُّهُ اِلاَّ الْمُطَهَّرُوْنَ
Bermaksud :
“Tidak disentuh ia, melainkan oleh malaikat.”

Maka ayat 79 dari surah Al-Waaqi'ah di atas tidak dapat digunakan sebagai dalil buat melarang wanita yang berhaid atau orang yang berjunub memegang Al-Quran kerana ayat ini menjelaskan darihal peristiwa yang berbeza. Ayat 79 dari surah Al-Waaqi'ah ini bukan menceritakan tentang larangan tetapi menafikan bahawa Al-Quran datangnya dari syaitan. Dijelaskan dalam satu riwayat daripada Bukhari:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: اَخْبَرَنِي اَبُو سُفْيَانَ اَنَّ هِرَقْلَ دَعَا بِكِتَابِ النَّبِيِّ ص فَقَرَأَهُ فَاِذَا فِيْهِ: بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ، يَآ اَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا اِلَى كَلِمَةٍ سَوَآءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ اَلاَّ نَعْبُدَ اِلاَّ اللهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا اَرْبَابًا مِنْ دُوْنِ اللهِ فَاِنْ تَوَلَّوْا فَقُوْلُوْا اشْهَدُوْا بِاَنَّا مُسْلِمُوْنَ
Berkata Ibnu Abbas: Abu Sufyan memberi khabar kepada saya, bahawa Hiraklus pernah meminta surat yang dari Nabi saw kemudian ia bacakan dia, maka di situ ada (firman Allah): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Wahai Ahlul Kitab marilah kamu kepada kalimat yang bersamaan antara kami dan antara kamu bahawa tiada Tuhan yang kita sembah kecuali Allah dan tiada kita mempersekutukanNya dengan sesuatupun dan tiada setengah kita mengangkat yang lain menjadi Tuhan selain daripada Allah. Kalau mereka berpaling, kamu katakanlah (kepadanya): Maka bersaksilah kamu bahawa kami orang-orang Islam - Surah Ali Imran ayat 64 [3:64] ”

Hiraklus atau ada yang memanggil Hirkulis ini beragama Kristian akan tetapi tetap diutuskan padanya surat yang berisikan firman Allah, maka sekiranya memegang / menyentuh Al-Quran itu dilarang dari orang yang tiada suci, tentulah tidak diberikan surat itu kepada Hiraklus.

Maka dalam bab apakah boleh menyentuh Al-Quran bagi yang berhaid atau berjunub, tidaklah saya peroleh keterangan yang jelas dan terang melarang wanita yang berhaid atau orang yang berjunub dari memegangnya. Demikianlah yang saya peroleh sepencarian saya atas keterangan-keterangan hadits. Walau demikian, saya amat mengharapkan teguran para hadirin atas dasar keterangan jika apa yang disampaikan bercanggah dengan keterangan yang shahih atau berlaku kekeliruan di pihak saya.

Adapun dalam bab apakah perlu pada wudhuk atau diperintahkan berwudhuk jika hendak memegang Al-Quran? Maka sejauh pencarian saya, diperintahkan kita berwudhuk hanyalah apabila akan mendirikan solat. Ini sebagaimana perintah Allah dalam surah Al-Maidah ayat 6 [5:6]:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوْسِكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ
“Hai orang yang beriman apabila kau berdiri hendak solat, maka basuhlah mukamu dan dua tanganmu hingga ke dua siku, dan sapulah kepalamu dan (basuhlah) kakimu hingga dua buku lali.”

Telah bersabda Rasulullah saw:
اِنَّمَا اُمِرْتُ بِالْوُضُوْءِ اِذَا قُمْتُ اِلَى الصَّلاَةِ
Hanyalah aku diperintah berwudhuk apabila aku hendak mendirikan solat
Hadits shahih riwayat Abu Daud, Tirmizi dalam tajuk "Makanan", juga diriwayatkan oleh Nasaie

Tiadalah diperoleh keterangan bahawa perlu berwudhuk sebelum memegang Al-Quran, sedang dalam hadits yang telah dibawakan bahawa Hiraklus seorang yang beragama nashara itu juga ada menyentuh surat yang mengandungi ayat Al-Quran. Maka dari itu boleh Al-Quran itu dipegang walau tanpa wudhuk kerana tiada dalil yang memerintahkan demikian. الله اعلم

Comments

One response to “Mandi Janabah 4”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

How to find an MGM Grand Casino & Hotel in Las Vegas
If you 강릉 출장샵 want to learn how to book a 화성 출장안마 hotel near MGM Grand Casino & Hotel in Las Vegas, 포천 출장샵 please see a 경기도 출장샵 map. The location 경기도 출장샵 of MGM Grand Casino & Hotel

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger