Mandi Janabah 5

Friday, February 5, 2010

Bab Istihadhah
Seterusnya, kita masuk pula dalam bab istihadhah. Kita telah bincangkan secara ringkas tentang hal ini dalam bab-bab yang lalu, pada kali ini eloklah kita perincikan atau halusi lagi bab ini agar kita benar-benar faham kerana jika kita sebagai ibu bapa tidak faham, kepada siapa anak-anak kita hendak bertanya. Kita mulakan dengan darah istihadhah.

Makna istihadhah itu adalah: ‘darah yang keluar terus-menerus dan mengalirnya bukan pada waktu’. Ini beralasan dengan hadits Ummu Salamah:

اَنَّهَا اسْـَفْتَتِ النَّبِيَّ ص فى امْرَأَةٍ تُهْراَقُ الدَّمِ فَقَالَ: لِتَنْظُرْ قَدْرَ اللَّيَالِىَ وَالأَيَّامِ كَانَتْ تَحِيْضُهُنَّ وَقَدْرَهُنَّ مِنَ الشَّهْرِ. فَتَدَعُ الصَّلاَةَ. ثُمَّ لْتَغْتَسِلْ وَلْتَسْتَثْفِرْ ثُمَّ تُصَلِّى.
Bahawa dia bertanya fatwa kepada Nabi saw berhubung dengan wanita yang keluar darah yang banyak. Maka dia (Nabi saw) berkata: “Hendaklah dia melihat kadar malam dan siang yang mereka selalu datang haidh, dan kadar masanya dalam sebulan. Maka hendaklah dia tinggalkan solat (pada masa haidh yang lazim). Kemudian hendaklah dia mandi janabah dan memakai cawat, dan bolehlah solat”.
Diriwayatkan oleh Malik, As-Syafie dan ‘Lima’ kecuali Turmidzi.

Hadits ini adalah bagi orang yang mengetahui lazim kedatangan haidhnya, lalu ia berhenti solat pada waktu tersebut, misalnya ia biasa kedatangan haid selama 8-9 hari maka dalam tempoh yang demikian hendaklah ia tinggalkan solat dan apabila telah berhenti dari darah haid, ia mandi janabah lalu solat. Maka darah yang masih keluar itu dikira istihadhah.

Bagaimana pula jika haidh itu sejak mula ia keluar (telah bersama) ada istihadhah. Contohnya darahnya datang 20-25 hari. Ini telah saya jelaskan pada bab yang lalu, bahawa ada anak gadis yang mungkin tidak faham lalu mereka menganggap ianya sebagai haidh. Jawapannya tidak ada satu nas pun yang menjelaskan bahawa haidh itu boleh sampai 20-25 hari, paling panjang menurut pandangan ulama hanyalah 15 hari. Kita telah jelaskan panjang lebar dari hal ini pada pelajaran yang lalu. Sila rujuk kembali. Apa yang perlu dibuat oleh anak gadis yang menghadapi masalah istihadhah dari awal haidh adalah terbahagi kepada dua cara tindakan:
1) Apabila telah datang darah 6-7 hari ia berhenti, lalu ia mandi janabah dan bolehlah dia solat atau berpuasa. Kerana selebihnya dari 6-7 hari itu dikira istihadhah.
2) Mengenal pasti darah yang hitam semasa awal datangnya haidh. Apabila habis saja darah hitam (yang tinggal darah merah) maka mandilah janabah dan solat serta berpuasalah. Peringatan; kaedah ini hanyalah untuk orang yang ada istihadhah sahaja (sebab darah haidh itu darah yang hitam).

Alasan tentang bab ini telah saya berikan dalam pelajaran kita tentang haidh, tetapi agar lebih jelas saya ulangi sekali lagi untuk kefahaman kita. Berkata Humnah binti Jahsy:

قَالَتْ: كُنْتُ اُسْتَحَاضُ حَيْضَةً شَدِيْدَةً كَثِيْرَةً فَجِئْتُ رَسُوْلَ الله ص أَسْتَفْتِيْهِ وَأُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فِيْ بَيْتِ أُخْتِيْ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ، قَالَتْ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ الله، إِنِّى اُسْتَحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا وَقَدْ مَنَعْتَنِيْ الصَّلاَةَ وَالصِّيَامَ؟ فَقَالَ: اَنْعَتْ لَكِ الْكُرْسُفَ فَاِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ، قَالَتْ هُوَ اَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: فَتَلَجَّمِيْ. قَالَتْ: اِنَّمَا اَثُجُّ ثَجَثًا فَقَالَ: سَآمُرُكِ بِاَمْرَيْنِ اَيُّهُمَا فَعَلْتِ فَقَدْ اَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ الآخَرِ، فَاِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَاَنْتِ اَعْلَمُ، فَقَالَ لَهَا: اِنَّمَا هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحِيْضِيْ سِتَّةَ اَيَّامٍ اِلَى سَبْعَةٍ فِيْ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتَّى اِذَا رَاَيْتِ اَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَاسْتَنْقَيْتِ فَصَلِّيْ اَرْبَعًا وَعِشْرِيْنَ لَيْلَةً اَوْ ثَلاَثًا وَعِشْرِيْنَ لَيْلَةً وَاَيَّامَهَا وَصُوْمِيْ فَاِنَّ ذَلِكَ يُجْزِئُكِ وَكَذَلِكَ فَافْعَلِيْ فِيْ كُلِّ شَهْرٍ كَمَا تَحِيْضُ النِّسَاءُ وَكَمَا يَطْهُرْنَ بِمِيْقَاتِ حَيْضِهِنَّ وَطُهْرِهِنَّ، وَاِنْ قَوِيْتِ عَلَى اَنْ تُؤَخِّرِيْ الظُّهْرَ وَتُعَجِّلِيْ الْعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ ثُمَّ تُصَلِّيْنَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيْعًا ثُمَّ تُؤَخِّرِيْنَ الْمَغْرِبَ وَتُعَجِّلِيْنَ الْعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَتَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَتَغْتَسِلِيْنَ مَعَ الْفَجْرِ وَتُصَلِّيْنَ وَكَذَلِكِ فَافْعَلِيْ وَصَلِّيْ وَصُوْمِيْ اِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ....وَقَالَ رَسُوْلُ الله ص: وَهَذَا أَحَبُّ الأَمْرَيْنِ اِلَيَّ
Berkata Humnah: Aku wanita yang beristihadhah, keluar darah yang banyak dan lama. Maka aku pergi kepada Nabi saw untuk bertanyakannya maka kudapati beliau berada di rumah adikku, Zainab binti Jahsy. Maka aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini beristihadhah haid yang banyak dan lama, maka apa pendapat engkau sedang engkau telah larang aku dari solat dan puasa? Bersabda Nabi saw: Aku anjurkan padamu memakai kapas kerana ia dapat menyerap darah. Berkata Humnah: Tetapi ini lebih banyak lagi. Bersabda Rasulullah saw: Kalau begitu, ikatlah erat-erat dengan kain. Berkata Humnah: Tetapi ia tetap mengalir deras. Bersabda Rasulullah saw: Aku akan perintahkan engkau dengan 2 perkara, boleh pilih salah satu dari keduanya dan jika telah dikerjakan salah satu di antaranya, maka tidak perlu lagi pada yang lain. Tetapi jika kau sanggup melakukan keduanya, itu terserah kepadamu. Bersabda lagi Nabi saw: Sesungguhnya ini hanyalah satu dari gangguan syaitan. Maka jadikanlah masa haidmu 6 atau 7 hari dengan sepengetahuan Allah kemudian mandilah apabila engkau merasakan dirimu sudah suci dan bersih maka solatlah selama 24 malam atau 23 malam dan siangnya dan berpuasalah, demikian itu diberi ganjaran bagimu. Maka engkau lakukanlah demikian pada setiap bulan sebagaimana haidnya wanita-wanita dan sucinya mereka pada kadar waktu masing-masing. Jika engkau mampu untuk mengundurkan Zohor dan menyegerakan Asar, hendaklah engkau mandi dan solat Zohor dan Asar secara jama'. Kemudian engkau mengundurkan Maghrib dan menyegerakan Isyak dengan mandi dan menjama'kan dua solat tersebut, maka kerjakanlah (jika mampu). Lalu di waktu Subuh, kau mandi dan solat, demikianlah. Oleh kerana itu, beramallah, solatlah dan puasalah jika engkau mampu melaksanakannya. Dan sabda Rasulullah saw: Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Turmidzi (dan berkata Turmidzi: Hadits ini hasan sahih, katanya lagi: Dan ketika saya tanyakan pendapat Bukhari, ia menjawab: Hadits itu hasan. Ahmad bin Hanbal berkata bahawa hadits itu hasan lagi shahih).

Hadits seterusnya:

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ: اِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ اَبِى حُبَيْشٍ كَانَتْ اُسْتُحِيْضَتْ فَقَالَ لَهَا رَسُوْلُ الله ص: اِنَّ دَمَ الْحَيْضِ اَسْوَدُ يُعْرَفُ فَاِذَا كَانَ ذَلِكَ فَاَمْسِكِيْ عَنِ الصَّلاَةِ وَاِذَا كَانَ الأَخَرَ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّيْ فَاِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
“Daripada Urwah bin Zubair ia berkata: Sesungguhnya Fatimah binti Abi Hubaisy adalah seorang yang beristihadhah. Maka bersabda Rasulullah saw kepadanya: Sesungguhnya darah haidh itu adalah (darah) hitam yang diketahui. Apabila demikian, maka berhentilah solat. Kalau lain dari itu hendaklah mengambil wudhuk dan dirikan solat, kerana ia adalah dari urat”.
Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Hibban dan Ad-Daraquthni yang mengatakan: Semua perawinya dapat dipercaya. Diriwayatkan juga oleh Hakim dan ia berkata: Atas syarat Muslim.

Kesimpulannya:
Bahawa wanita atau gadis yang berdarah istihadhah itu, apabila telah pasti lepas pada lazim haidhnya, maka wajib ia mandi janabah dan mendirikan solat atau berpuasa atau lain-lain ibadah.

Tidak diwajibkan mandi janabah kecuali pada selepas habis kelaziman haidh, di waktu lain jika ia hendak solat hendaklah ia berwudhuk sahaja. Tetapi jika ia mampu untuk mandi maka disunatkan malah itu lebih disukai Rasulullah saw. Bagi wanita yang istihadhah, wajib mengambil wudhuk bagi tiap-tiap waktu solat, berdasarkan hadits:

ثُمَّ تَوَضَّئِى لِكُلِّ صَلاَةٍ
Kemudian hendaklah engkau mengambil wudhuk bagi tiap-tiap solat.
Diriwayatkan oleh Bukhari.

Pandangan ini dipegang oleh kebanyakkan ulama salaf dan khalaf, atau dikenali dengan jumhur ulama.

Wanita yang istihadhah hendaklah dia membasuh kemaluannya sebelum mengambil wudhuk, dan mengalaskan kain atau kapas untuk menghalang kekotoran dan mengurangkannya. Jika darah tidak memancut keluar, letakkan cawat di kemaluan atau pun alaskan ‘tuala wanita’. Ini adalah ikhtiar yang lebih baik dan disunnahkan.

Wanita istihadhah tidaklah boleh mengambil wudhuk sebelum masuk waktu solat. Ini pendapat jumhur. Maka tidak perlu mendahulukan wudhuk sebelum masuk waktu yang diperlukan.

Bahawa wanita-wanita istihadhah harus bersetubuh dengan suami mereka dalam keadaan darah mengalir. Ini pandangan jumhur ulama kerana tidak ada dalil yang mengharamkan persetubuhan. Ibnu Abbas berkata:

الْمُسْتَحَاضَةُ يَأْتِيْهَا زَوْجُهَا إِذَا صَلَّتْ فَالصَّلاَةُ أَعْظَمُ
Wanita istihadhah boleh disetubuhi oleh suaminya. Jika dia dibolehkan solat maka yang demikian itu lebih besar. Maka solat itu lebih besar (yakni apabila wajib baginya solat sedangkan darah masih mengalir dan ia adalah disyaratkan bersih) dan haruslah bersetubuh.
Diriwayatkan oleh Bukhari

وَعَنْ عِكْرِمَةَ قَالَ: اِنَّ حُمْنَةَ بِنْتَ جَحْشٍ كَانَتْ تُسْتَحَاضُ وَكَانَ زَوْجُهَا يُجَامِعُهَا
Dari Ikrimah ia berkata: Sesungguhnya Humnah binti Jahsy adalah wanita istihadhah dan suaminya bersetubuh dengannya dalam keadaan yang demikian.
Riwayat Abu Daud

Maka berkaitan dengan wanita yang beristihadhah, tiadalah diperoleh larangan atau batasan sebagaimana wanita yang berhaid atau nifas, boleh dia melakukan ibadah-ibadah seperti solat, puasa beriktikaf, membaca Al-Quran dan sebagainya. الله اعلم

Bab Nifas
Nifas ini maknanya ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita disebabkan melahirkan anak. Dalam hal ini ulama telah mengkiaskan (mensabitkan) keguguran dalam erti yang sama iaitu sama halnya dengan melahirkan anak, jika ada darah yang mengiringi keguguran maka darahnya dikira darah nifas. Kias ini bukannya bersandarkan akal tetapi berdasarkan hadits Rasulullah saw yang akan kita bincangkan. Hadits berkaitan wanita yang bernifas digunakan untuk perempuan yang keguguran dan ada padanya darah yang keluar dari kemaluan, diqiyaskan menggunakan kaedah ‘kias dari yang sejenis dengannya’ iaitu bersalin dan keguguran dari kejadian yang sejenis atau di atas sebab yang sama, yang satunya melahirkan anak dan yang satu lagi melahirkan janin yang tidak sempurna, kadang-kala hanya gumpalan darah.

Jangka waktu yang minima bagi wanita yang bernifas tidak dijelaskan, maknanya boleh berlaku dalam waktu yang singkat dan sepanjang-panjangnya adalah tidak melebihi 40 hari. Ini bersandarkan hadits Ummu Salamah, ia berkata:

كَانَتِ النُّفَسَاءُ تَجْلِسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ ص أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Di masa Rasulullah saw, perempuan-perempuan yang di dalam nifas itu tinggal duduk sahaja, tidak beribadat selama 40 hari.
Diriwayatkan oleh ‘lima’ kecuali Nasai. Rujukan Fikih Sunnah.

Manakala bagi lafaz Abu Daud dan Tirmizi, terdapat tambahan:

.....اَرْبَعِيْنَ يَوْمًا وَاَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً
………40 hari dan 40 malam

Berkata Tirmidzi darihal hadits ini: “Para ahli ilmu di antara sahabat-sahabat Nabi saw dan tabiin serta orang-orang di belakang mereka telah sekata (ijma') bahawa perempuan-perempuan yang sedang bernifas itu menghentikan solat mereka selama 40 hari, kecuali bila keadaan suci terlihat sebelum waktu tersebut, maka ketika itu hendaklah mereka mandi dan solat. Dan jika darah terlihat setelah masa 40 hari, maka kebanyakkan ahli (hadits) berpendapat, mereka tidak boleh meninggalkan solat setelah lebih 40 hari”. Kita lihat sepotong riwayat lagi daripada Ummu Salamah:

عَنْ اُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: اِنَّهَا سَأَلَتْ رَسُوْلَ الله ص: كَمْ تَجْلِسُ الْمَرْأَةُ اِذَا وَلَدتْ؟ قَالَ: اَرْبَعِيْنَ يَوْمًا اِلاَّ اَنْ تَرَى الطُّهْرَ قَبْلَ ذَلِكَ
Daripada Ummu Salamah ia menerangkan bahawa ia pernah bertanyakan Rasulullah saw tentang kadar lamanya seseorang perempuan menjalankan nifasnya. Bersabda Rasulullah saw: (Lamanya wanita bernifas itu) 40 hari kecuali jika dia suci sebelum itu.
Riwayat Daruqutni

Disebabkan tidak banyak hadits yang dapat dijadikan panduan dalam hal nifas maka ulama-ulama ahli hadits telah mengkiaskan hukum dengan menggunakan hadits dari hal haidh untuk menjelaskan permasalahan nifas. Kita renungkan dua hadits di bawah:

خَرَجَ رَسُوْلُ الله ص فِيْ اَضْحَى اَوْ فِطْرٍ اِلَى الْمُصَلِّى فَمَرَّ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ فَاِنِّيْ رَاَيْتُكُنَّ اَكْثَرَ اَهْلِ النَّارِ، فَقُلْنَ: وَلِمَ يَا رَسُوْلَ الله؟ قَالَ: تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ. مَا رَاَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِيْنٍ اَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ اِحْدَاكُنَّ! قُلْنَ: وَمَا نُقْصَانُ عَقْلِنَا وَدِيْنِنَا يَا رَسُوْلَ الله؟ قَالَ: أَلَيْسَ شَهَادَةُ الْمَرْأَةِ مِثْلَ نِصْفِ شَهَادَةِ الرَّجُلِ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نُقْصَانِ عَقْلِهَا، أَلَيْسَ اِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذَلِكَ نُقْصَانُ دِيْنِهَا
Rasulullah saw pergi ke tempat solat di waktu Hari Raya Adha atau Fitri maka beliau saw melewati pada kaum wanita. Bersabda Rasulullah saw: Wahai golongan wanita, bersedekahlah kalian kerana saya lihat kamu sekalianlah penduduk yang terbanyak dari neraka. Bertanya para wanita: Mengapa demikian wahai Rasulullah? Ujar Nabi saw: Kalian banyak mengutuk dan ingkar kepada suami. Tak seorang pun yang saya lihat orang yang singkat akal dan kurang agama yang dapat mempengaruhi akal lelaki yang teguh melebihi kalian! Bertanya para wanita: Di mana letaknya kekurangan akal dan agama kami wahai Rasulullah? Jawab Nabi saw: Bukankah kesaksian wanita nilainya separuh dari kesaksian lelaki? Jawab para wanita: Benar. Bersabda Nabi saw: Demikian itu disebabkan kurangnya akal mereka (wanita). Bukankah bila mereka haid, mereka tidak solat dan puasa? Jawab para wanita: Benar. Bersabda Rasulullah saw: Demikian itulah kekurangan agama mereka Bukhari & Muslim

عَنْ اُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: كَانَتِ الْمَرْأَةُ مِنْ نِسَاءِ النَّبِيِّ ص تَقْعُدُ فِي النِّفَاسِ اَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً لاَ يَأْمُرُهَا النَّبِيُّ ص بِقَضَاءِ صَلاَةِ النِّفَاسِ
Daripada Ummu Salamah ia berkata: Bahawa isteri Nabi saw yang melahirkan anak, tidak solat selama masa nifasnya 40 malam. Nabi saw tidak menyuruhnya mengqadha solat yang telah ditinggalkan selama itu. Riwayat Abu Daud dengan darjat hasan.

Dari dua keterangan hadits di atas, menjelaskan bahawa wanita yang berhaid itu tidak mengerjakan solat di kala keluarnya darah haid dan ketetapan yang sama juga berlaku pada wanita yang bernifas di mana mereka tidak mendirikan solat selama waktu nifas dan kedua-duanya (wanita berhaid dan wanita bernifas) tidak diperintahkan untuk mengqadha solat. Berdasarkan persamaan inilah diqiyaskan bahawa permasalahan nifas itu menyamai permasalan haid, maka apa-apa yang telah kita pelajari terdahulu dari bahagian haidh adalah menjadi rujukan kita dari hal nifas. Dan apa-apa yang terlarang bagi urusan haidh maka itulah yang menjadi larangan bagi urusan nifas.

Berkata Imam Syafie: Para ulama seluruhnya berijma' bahawa nifas adalah seperti haid terhadap pekerjaan-pekerjaan yang dihalalkan dan terhadap pekerjaan-pekerjaan yang diharamkan dan yang dimakruhkan. Inilah penjelasan yang dapat saya berikan dari urusan nifas moga kita dapat memahaminya dan mempraktikkannya dengan ilmu pengetahuan bukan sekadar ikutan atau bertaklid kepada ustaz-ustaz. Kita hendaklah mempelajari tempat keluarnya hukum di atas amalan yang kita lakukan, samada ia bersumberkan Al-Quran dan hadits, ijma' sahabat atau kias ulama atau dari jalan yang ditegah oleh Allah iaitu bid’ah yang sangat banyak diamalkan oleh masyarakat kita hari ini.

Comments

No response to “Mandi Janabah 5”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

Post a Comment

 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger