Perihal Sekitar Haidh (Siri 2)

Wednesday, May 20, 2009

HAIDH

Sambungan daripada siri 1, bab berhenti pada pandangan ulama bahawa haidh itu adalah kadar biasanya 6-7 hari dan selebih-lebihnya 15 hari. Ini kerana tidak ada satu keterangan yang sahih yang membataskan secara tetap di atas urusan haidh. Maka kita sambung dari hal haidh secara lebih terperinci. Kita masuk di bahagian warna darahnya seperti yang kita bicarakan pada minggu lepas iaitu darah haidh itu warnanya hitam berdasarkan hadits yang berbunyi:

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ: اِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ اَبِى حُبَيْشٍ كَانَتْ اُسْتُحِيْضَتْ فَقَالَ لَهَا رَسُوْلُ الله ص: اِنَّ دَمَ الْحَيْضِ اَسْوَدُ يُعْرَفُ فَاِذَا كَانَ ذَلِكَ فَاَمْسِكِيْ عَنِ الصَّلاَةِ وَاِذَا كَانَ الأَخَرَ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّيْ فَاِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
“Daripada Urwah bin Zubair ia berkata: Sesungguhnya Fatimah binti Abi Hubaisy adalah seorang yang beristihadhah. Maka bersabda Rasulullah saw kepadanya: Sesungguhnya darah haidh itu adalah (darah) hitam yang diketahui. Apabila demikian, maka berhentilah solat. Kalau lain dari itu hendaklah mengambil wudhuk dan dirikan solat, kerana ia adalah dari urat”.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Hibban dan Ad-Daraquthni yang mengatakan: Semua perawinya dapat dipercaya. Diriwayatkan juga oleh Hakim dan ia berkata: Atas syarat Muslim.

Darah haidh itu bermula pada lazimnya hitam, kemudian merah kehitaman dan di akhir haidh itu ada yang berwarna kekuningan. Ini berdasarkan hadith Alqamah bin Abi Alqamah dari ibunya Maryanah, iaitu bekas wanita suruhan Aisyah:

كَانَتِ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ اِلَى عَائِشَةَ بِالدِّرْجَةِ فِيْهَا الْكُرْسُفُ فِيْهِ الصُّفْرَةُ فَتَقُوْلُ: لاَ تَعْجَلَنَّ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ
“Adalah wanita-wanita menghantarkan kapas-kapas yang ada kekuningan kepada Aisyah, maka Aisyah berkata: Jangan terlalu cepat sangat bahkan biarkannya sehingga kamu melihat kapas itu putih”.

Diriwayatkan oleh Malik, Mohammad bin Hassan dan Bukhari sebut hadits ini secara ta’liq.

Dari Ummu Aatiyah bahawa darah haidh itu ada yang warnanya kelabu (الكدرة). Jika ini berlaku atau ada semasa peredaran haidh iaitu dari darah yang hitam, ke warna merah kehitaman lalu bertukar kekuningan dan kekelabuan maka itu dikira sebagai haidh. Tetapi jika kita dapati haidh itu telah habis maknanya sudah seperti biasa lalu mandi hadas, kemudian mungkin selepas dua atau tiga jam atau keesokkannya ada warna kekuningan atau kekelabuan maka menurut Ummu Aathiyah, mereka wanita-wanita di zaman Rasulullah saw tidak mengirakan sebagai haidh:

كُنَّا لاَ نَعُدُّ الصُّفْرَةَ وَالْكُدْرَةَ بَعْدَ الطَّهْرِ شَيْئًا
“Kami tidak mengirakan kekuningan dan kekelabuan selepas bersih (mandi hadas) itu sebagai sesuatu”.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Bukhari (di dalam Al-Bukhari tidak disebut perkataan ‘selepas bersih’). Perkataan ‘sesuatu’ itu menurut ulama adalah haidh.

Dari kesimpulan hadits-hadits di atas dan yang telah kita rujuk pada teks siri 1 yang lalu kita dapati bahawa tidak ada ketetapan masa haidh minima atau maksima yang ditetapkan kerana tidaklah diperoleh keterangan darihal tersebut daripada Rasulullah atau para sahabat. Jika seorang wanita itu terdapat adat kebiasaan haidhnya 6-7 hari atau 10 hari, maka hendaklah ia mengikut kebiasaan tersebut selagi tidak melebihi kelaziman yang telah diputuskan oleh ulama iaitu tidak melebihi 15 hari. Perlu rasanya kita fahami perselisihan ulama-ulama darihal jangka masa haidh ini untuk pengetahuan kita, supaya amalan kita jelas dan tidak termasuk dalam ikutan kepada ulama semata-mata.

Telah berpecah pendapat ulama-ulama kepada beberapa bahagian, iaitu golongan pertama berpendapat maksimumnya 10 hari. Golongan kedua pula berpendapat maksimumnya 13 hari dan golongan ketiga berpendapat maksimumnya 15 hari. Dan yang benar dan terang ialah tidak dijumpai tentang maksimumnya atau minimumnya, cuma jika kita rujuk hadits yang berbunyi:

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ قَالَ: اِنَّ اُمَّ سَلَمَةَ اسْتَفْتَتْ رَسُوْلَ الله ص فِيْ امْرَأَةٍ تُهْرَاقُ الدَّمَ فَقَالَ: لِتَنْتَظِرَ قَدْرَ اللَّيَالِى وَالأَيَّامِ الَّتِيْ كَانَتْ تَحَيَّضَهُنَّ وَقَدْرَهُنَّ مِنَ الشَّهْرِ فَتَدَعُ الصَّلاَةَ ثُمَّ لِتَغْتَسِلْ وَلْتَسْتَثْفِرْ ثُمَّ لِتُصَلِّ
“Daripada Sulaiman bin Yasar ia berkata: Bahawa Ummu Salamah meminta fatwa kepada Rasulullah saw mengenai seorang wanita yang selalu (terus-menerus) mengeluarkan darah. Maka ujar Nabi: Hendaklah dia memperhatikan bilangan malam dan siang yang dilaluinya dalam haidh, begitu pun letak hari-hari itu setiap bulan, lalu menghentikan solat pada waktu tersebut. Kemudian hendaklah dia mandi dan menyumbat kemaluannya dengan kain lalu solat”.

Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Nasai & Ibnu Majah. Berkata An-Nawawi: Isnad hadits ini menurut syarat Bukhari & Muslim

Dari hadits di atas apa yang dapat kita fahami, seseorang individu hendaklah memahami jangka masa haidhnya dengan menghitung hari-hari yang lazimnya datang darah hitam dan berkesudahan dengan kekuningan atau kelabu (keruh), pada setiap bulan. Maka tempoh lazim yang sama atau hampir sama setiap bulan itu adalah menjadi kitaran haidhnya. Apabila berlaku kelainan turunnya darah pada sesuatu bulan (lazimnya 8-10 hari) sehingga 20 hari, maka yang lebih dari 10 (darahnya bukan hitam) hari itu dikira darah istihadhah, wajib mandi dan solat. Ini berdasarkan hadits yang berbunyi:

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ: اِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ اَبِى حُبَيْشٍ كَانَتْ اُسْتُحِيْضَتْ فَقَالَ لَهَا رَسُوْلُ الله ص: اِنَّ دَمَ الْحَيْضِ اَسْوَدُ يُعْرَفُ فَاِذَا كَانَ ذَلِكَ فَاَمْسِكِيْ عَنِ الصَّلاَةِ وَاِذَا كَانَ الأَخَرَ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّيْ فَاِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
“Daripada Urwah bin Zubair ia berkata: Sesungguhnya Fatimah binti Abi Hubaisy adalah seorang yang beristihadhah. Maka bersabda Rasulullah saw kepadanya: Sesungguhnya darah haidh itu adalah (darah) hitam yang diketahui. Apabila demikian, maka berhentilah solat. Kalau lain dari itu hendaklah mengambil wudhuk dan dirikan solat, kerana ia adalah dari urat”.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Hibban dan Ad-Daraquthni yang mengatakan: Semua perawinya dapat dipercaya. Diriwayatkan juga oleh Hakim dan ia berkata: Atas syarat Muslim.

Banyak salah faham yang berlaku tentang permasalahan haidh yang berlaku kepada wanita. Ada suami yang tidur berasingan dari isteri berhaidh, perbuatan seperti ini menyebabkan pandangan serong orang kafir terhadap Islam sebagai agama yang menghina wanita. Apakah betul perbuatan ini? Jika tidak betul siapakah dalang yang mengajar amalan keji ini?

Jawabnya, perbuatan memencilkan isteri apabila datangnya haidh adalah amalan orang-orang yahudi sebagaimana sabda Rasulullah saw:

أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ مِنْهُمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا ، وَلَمْ يُجَامِعُوهَا. وَلَقَدْ سَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِىِّ ص فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّوَجَلَّ {وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ اْلمَحِيْضِ قُلُ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسآءَ فِى المَحِيْضِ وَلاَتَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللهُ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ} فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ص: إِصْنَعُوا كُلَّ شَيْئٍ إِلاَّ النِّكَاحَ ، وَفِى لَفْظٍ ، إِلاَّ الْجِمَاعَ.
“Bahawa orang-orang Yahudi bila ada perempuan mereka yang haidh, tidaklah mereka bawa ia makan bersama dan tidak pula mereka campuri. Hal itu ditanyakan oleh sahabat Nabi saw, maka Allah swt pun menurunkan ayat (yang bermaksud):
“Mereka bertanyakan kepadamu mengenai haidh. Katakanlah bahawa itu kotoran maka jauhilah perempuan-perempuan itu di waktu mereka haidh, dan janganlah dekati mereka sampai mereka suci! Dan jika mereka telah suci, bolehlah kamu mencampuri mereka sebagaimana diperintahkan oleh Allah. Sungguh Allah itu mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersuci”.
(Al-Baqarah:222)


Maka ulas Rasulullah saw: Perbuatlah segala sesuatu kecuali kahwin! Dan menurut kata-kata lain ‘kecuali bersetubuh’ ”.

Diriwayatkan oleh Jamaah kecuali Bukhari.

Dalam sebuah hadits yang lain:

أَنَّ النَّبِىَّ ص كَانَ إِذَا أَرَادَ مِنَ الْحَائِضِ شَيْئًا اَلْقَى عَلَى فَرْجِهَا شَيْئًا
“Bahawa Nabi saw bila menginginkan sesuatu dari isterinya yang sedang haidh, maka ditutupkannya sesuatu pada kemaluan isterinya itu”.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, menurut Al Hafidh Al-Asqalani dalam Fathul Bari bahawa isnadnya kuat.

Dan dari Masruq Ibnul Ajda’, katanya:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ: مَا لِلرَّجُلِ مِنْ إِمْرَأَتِهِ إِذَا كَانَتْ حَائِضًا؟ قَالَتْ: كُلَّ شَيْئٍ إِلاَّ الْفَرْجَ
“Saya tanyakan kepada Aisyah: Apakah yang boleh bagi laki-laki dari isterinya bila dia haidh? Ujarnya : Segala apa juga, kecuali kemaluan”.

Diriwayatkan oleh Bukhari dalam buku Tarikhnya.

Hadirin, begitu jelas dan terang keterangan tentang suami boleh bersama isteri yang di dalam haidh, bergaul mesra dan tak perlu dua katil atau dua bilik semata-mata untuk memisah isteri yang dalam haidh. Secara ringkas, boleh melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh pasangan suami isteri kecuali bersetubuh, dan jika bernafsu atau berkehendak maka lapiklah bahagian kemaluan yang berhaidh itu dengan sesuatu.

Seruan saya terutama pada yang remaja janganlah terpengaruh dengan amalan jahiliah iaitu amalan yang diamalkan oleh Yahudi kerana Islam adalah agama yang sempurna dan cukup menghargai wanita dan bukan agama yang memandang hina kepada wanita seperti meminggirkan wanita semasa haidh, ada yang pantang makan masakan isteri bila dalam keadaan haidh. Ada yang menganggap air tangan orang haidh itu kotor najis dan sebagainya. Kita renungkan beberapa hadits darihal sikap Rasulullah saw terhadap isteri-isterinya di kala mereka berhaidh.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كُنْتُ اَشْرَبُ وَاَنَا حَائِضٌ ثُمَّ اُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ ص فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ وَاَتَعَرَّقُ الْعَرْقَ وَاَنَا حَائِضٌ ثُمَّ اُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ ص فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ
Daripada Aisyah ia berkata: (Pada suatu waktu) ketika aku sedang haidh, aku minum. Kemudian kuberikan ia (minuman) kepada Nabi saw maka beliau meletakkan bibirnya di bekas mulutku lalu beliau minum ia. Pernah ketika aku sedang haidh, aku makan sepotong daging. Setelah kugigit, daging itu kuberikan kepada Nabi saw lalu beliau menggigitnya pula di bekas gigitanku.
Riwayat Muslim


عَنْ عَائِشَةَ اَنَّهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُوْلُ الله ص يَتَّكِئُ فِيْ حِجْرِيْ وَاَنَا حَائِضٌ فَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ

Daripada Aisyah ia berkata: Adalah Rasulullah saw duduk menyandar padaku lalu dia membaca Al-Quran sedang aku (dalam keadaan) haidh
Riwayat Muslim

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا اعْتَكَفَ يُدْنِى اِلَيَّ رَأْسَهُ فَاُرَجِّلُهُ...
Daripada Aisyah ia berkata: Adalah (suatu ketika) Nabi saw beriktikaf, beliau mendekatkan kepalanya padaku maka kusisir rambutnya……
Riwayat Muslim


Demikianlah sunnah yang dicontohkan oleh Rasulullah saw terhadap isterinya yang berhaidh dan demikianlah yang sepatutnya menjadi pengamalan kita sebagai umatnya. Janganlah kita melampaui batas / berlebih-lebih sehingga merasakan perbuatan seorang Rasul itu kurang elok untuk dilakukan oleh umatnya. Sesungguhnya barangsiapa yang tidak suka / membenci sunnah Rasul saw maka ia bukan dari golongannya. Bersabda Rasulullah saw:

عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ اَنَّ النَّبِيَّ ص حَمِدَ اللهَ وَاَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ " لَكِنِّيْ اَنَا اُصَلِّيْ وَاَنَامُ وَاَصُوْمُ وَاُفْطِرُ وَاَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ
Dari Anas bin Malik bahawasanya Nabi saw. telah memuji Allah dan menyanjungNya dan beliau bersabda: “…. Tetapi aku solat dan aku tidur dan aku berpuasa dan aku berbuka dan aku berkahwin perempuan-perempuan. Maka barangsiapa tidak suka sunnahku (caraku) bukanlah ia dari golonganku. Muttafaq ‘Alaih
Benarkah orang yang berhaidh itu tak boleh membaca Al Quran? Jadi tak perlu Basmallah bila makan, tak perlu mengucapkan Alhamdulillah bila bersin dan tak perlu mengucap bila nazak atau hampir mati, kerana semuanya ini asalnya ayat Al Quran. InsyaAllah kita akan bincang bab ini pada sambungan yang akan datang.

Sumber: Koleksi teks kuliah mingguan Persatuan Al-Islah, Perlis

Pengertian Mandi Janabah dan Perkara-Perkara yang Mewajibkannya (Siri 1)

Mandi Janabah
Mandi janabah atau lebih tepat jika kita ertikan bersuci dari hadas besar adalah satu amalan bersuci yang sangat penting bagi memastikan sahnya amalan-amalan seperti solat yang kita lakukan. Hendaklah dalam kita melakukan amalan mandi jenabah ini kita lakukan menepati Sunnah Rasulullah saw. Tidak boleh kita lakukan sewenang-wenangnya menurut hawa nafsu atau akal fikiran kerana Islam itu adalah pedoman yang diamanahkan kepada kita untuk dicontohi dan diamalkan, jika kita menolak atau ingkar dari mentaatinya maka kita tergolong dalam golongan orang yang kufur dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya kerana syariat itu adalah satu amanah dan perjanjian kita sebagai seorang Islam yang sepatutnya wajib kita laksanakan dan haram bagi kita menolak atau mengingkarinya. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 6 [5:6]:

وَإِن كُننتُمْ جُنُبًا فَاَطَّهَّرُواْ
“Dan jika kamu berjunub maka hendaklah kamu bersihkan (mandi jenabah)”

Dalam surah Al-Baqarah ayat 222 [2:222]:

وَيَسْئَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ اَلنِّسَآءَ فِى الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ
“Mereka bertanya kepada engkau berhubung haidh, katakanlah ia adalah kotoran, hendaklah kamu jauhi isteri ketika haidh (jangan menyetubuhinya) sehingga dia suci (setelah mandi jenabah)”

Perkataan الطُّهْر dalam ayat-ayat tadi bermakna “mandi jenabah”, ini beralasankan dengan ayat lain dalam surah An-Nisa’ ayat 43 [4:43]:

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَتَقْرَبُواْ الصَّلَوَةَ وَأَنتُمْ سُكَرَى حَتَّى تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُواْ
“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu berkata, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub kecuali sekadar berlalu saja hingga kamu manidi janabah”.

Perkara-perkara yang mewajibkan mandi janabah
1. Keluar mani dengan syahwat. Keluar air mani dengan syahwat di masa tidur (seperti bermimpi) dan berjaga, sama ada lelaki atau perempuan, adalah di antara perkara yang wajib padanya mandi jenabah seperti sabda Rasulullah saw:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص: اَلْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ، وَاَصْلُهُ فِى الْبُخَارِيِّ.
Dari Abi Sa’id al-Khudri, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: “Air itu dari air” Diriwayatkan oleh Muslim, tetapi asalnya di Bukhari. (ruj. Bulughul Maram)

Dalam riwayat lainnya sebagaimana diriwayatkan daripada Ali:

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ: كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ ص فَقَالَ: فِي الْمَذِيِّ الْوُضُوْءُ وَفِي الْمَنِيِّ الْغُسْلُ
Daripada Ali ia berkata: Aku adalah seorang lelaki yang banyak mengeluarkan madzi. Maka aku tanyakan pada Rasulullah saw maka beliau bersabda: Madzi hanya mewajibkan wudhuk dan mani itu mewajibkan mandi
Riwayat Ahmad, Tirmizi & Ibnu Majah. Hadits ini hasan shahih menurut Tirmizi

Pengertian hadits ini adalah mandi dengan air disebabkan keluarnya mani, tidak kira lelaki atau perempuan. Alasan lain tentang mimpi yang keluar padanya air mani dengan syahwat adalah:

عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: اِنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ حَكِيْمٍ سَأَلَتِ النَّبِيِّ ص عَنِ الْمَرْأَةِ تَرَى فِيْ مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ، فَقَالَ: اِذَا رَأَتِ الْمَاءَ فَلْتَغْتَسِلْ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Bahawa Khaulah binti Hakim bertanya pada Nabi saw darihal perempuan yang bermimpi sebagaimana bermimpinya lelaki (mimpi bersetubuh). Maka Nabi saw bersabda: Apabila dia melihat air (mani), hendaklah ia mandi. Riwayat Nasaie dengan darjat shahih

Bersandarkan pada hadits di atas, dapat kita simpulkan beberapa perkara:
o Seorang lelaki atau perempuan yang bermimpi lalu keluar air mani maka wajib ke atasnya mandi janabah.
o Adapun jika ia bermimpi tetapi tidak keluar mani maka yang demikian itu tidak mewajibkan mandi janabah.
o Jika ia merasakan basah ketika bangun dari tidur tetapi tidak ingat bahawa ia bermimpi, jika ia yakin itu adalah mani maka wajib ia mandi janabah.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa perkara-perkara yang dibincangkan dalam bab ini kurang sesuai didedahkan secara terbuka, satu perkara yang lazimnya diselindungkan dan tidak ingin dibincangkan terutama kepada anak-anak. Maka renungkanlah sepotong hadits dalam shahih Muslim:

سَأَلَتْ اُمُّ سُلَيْمٍ نَبِيَّ الله ص عَنِ الْمَرْأَةِ تَرَى فِيْ مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ، فَقَالَ رَسُوْلُ الله ص اِذَا رَأَتْ ذَلِكَ الْمَرْأَةُ فَلْتَغْتَسِلْ. فَقَالَتْ اُمُّ سُلَيْمٍ وَاَسْتَحْيَيْتُ مِنْ ذَلِكَ، قَالَتْ وَهَلْ يَكُوْنُ هَذَا؟ فَقَالَ نَبِيُّ الله ص نَعَمْ فَمِنْ اَيْنَ يَكُوْنُ الشَّبَهُ اِنَّ مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيْظٌ اَبْيَضُ وَمَاءَ الْمَرْأَةِ رَقِيْقٌ اَصْفَرُ فَمِنْ اَيِّهِمَا عَلاَ اَوْ سَبَقَ يَكُوْنُ مِنْهُ الشَّبَهُ
Bertanya Ummu Sulaim kepada Nabi saw darihal wanita yang bermimpi ketika tidur seperti lelaki bermimpi (keluar mani). Jawab Rasulullah: Apabila perempuan itu memang keluar mani maka hendaklah ia mandi. Kata Ummu Sulaim: Aku sebenarnya malu bertanyakan masalah ini kepada beliau, apakah mani itu memang ada (bagi wanita)? Jawab Nabi saw: Ya, ada. Mani lelaki kental berwarna putih dan mani perempuan agak cair berwarna kekuning-kuningan. Kalau tidak ada, bagaimana seorang anak boleh serupa dengan orang tuanya. Siapa yang maninya lebih unggul, maka anaknya serupa dengan dia. Hadits shahih Muslim

Dalam lafaz lainnya bagi Muslim:

يَا رَسُوْلَ الله اِنَّ اللهَ لاَ يَسْتَحْيِى مِنَ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ اِذَا احْتَلَمَتْ؟....
Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu pada yang haq (benar). Apakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi?...............

Berkata Aisyah perihal wanita Anshar yang bertanyakan Nabi saw tentang cara mandi haidh:
قَالَتْ عَائِشَةُ: نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ اَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّيْنِ
Berkata Aisyah: Sebaik-baik wanita ialah wanita Anshar. Mereka tidak malu-malu bertanya kalau untuk mendalami agama Riwayat shahih Muslim

Sesungguhnya perkara agama itu berkaitan dengan syariat Allah. Jahil tentangnya bermakna jahil tentang syariat Allah. Maka oleh kerana itu, perlu untuk kita mengetahui dengan benar dengan teliti ketetapan-ketetapan syara'. Malu untuk bertanya hanya akan menyebabkan kejahilan yang akhirnya membawa kita kepada kerugian.

2. Bersetubuh. Maka ada pertikaian tentang orang yang bersetubuh yang tidak keluar air maninya bahawa ada yang mengambil faham tidak perlu kepada mandi jenabah, untuk penjelasan itu saya bawakan keterangan dari Rasulullah saw untuk rujukan kita bersama. Sabda Rasulullah saw:

اَنَّ رَسُوْلَ الله ص قَالَ: اِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ اَنْزَلَ اَمْ لَمْ يُنْزِلْ
Bahawa bersabda Rasulullah saw: Jika seseorang telah berada di antara empat cabangnya (dua tangan dan dua kaki seorang perempuan) lalu menyetubuhinya maka wajiblah mandi, biar keluar mani atau tidak
Riwayat Ahmad & Muslim

Sebuah hadits lagi:

اِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ وَجَبَ الْغُسْلُ. (ح.ص.ر الترمذي)
“Apabila kemaluan melalui kemaluan, maka wajib mandi.”
Riwayat Tirmizi dengan darjat shahih

Dari dua alasan di atas mudah-mudahan jelas bagi kita bahawa apabila berlaku persetubuhan tak kira sama ada terpancar air mani atau tidak, maka wajib mandi. Inilah alasan yang kukuh sepanjang pencarian saya dalam bab ini.

3. Keluar darah haidh atau nifas. Kita semak semula dari hal haidh, di mana sekarang ini banyak anak gadis yang keliru dan menjadikan alasan haidh sebagai keuzuran dalam ibadah terutamanya solat (sembahyang). Ada yang kalau ditanya mengapa tidak sembahyang? Jawab mereka uzur! Jadi jika sampai tiga minggu masih juga dengan alasan uzur maka wajarlah kita sebagai ibu bapa atau orang yang lebih dewasa menerangkan perkara yang sebenar. Jangan dibiarkan anak-anak kita, adik-adik kita menjadikan alasan haidh untuk tidak menyempurnakan ibadah kerana tidak memahami masalah yang sebenar. Dari Aisyah:

عَنْ عَائِشَةَ اَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ اَبِيْ حُبَيْشٍ كَانَتْ تُسْتَحَاضُ، فَقَالَ لَهَا رَسُوْلُ اللهِ ص (اِنَّ دَمَ الْحَيْضِ دَمٌ اَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَاِذَا كَانَ ذَلِكَ فَاَمْسِكِيْ عَنِ الصَّلاَةِ، فَاِذَا كَانَ اْلآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ) رَوَاهُ اَبُو دَاوُدَ وَ النَّسَائِيُّ وَ صَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ وَالْحَاكِمُ، وَاسْتَنْكَرَهُ اَبُو حَاتِمٍ.
Dari Aisyah, bahawasanya Fatimah binti Hubaisy biasa istihadhah, maka Rasulullah saw bersabda kepadanya: “Sesungguhnya darah haidh itu darah hitam yang terkenal. Maka apabila ada begitu, berhentilah dari sembahyang, tetapi jika ada yang lain, berwudhu’ dan solatlah.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasai dan disahkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim, tetapi dianggapnya mungkar oleh Abu Hatim. Penganggapan mungkar di atas hadits tersebut dibantah oleh Ibnu Qayyim. Hadits itu sah dan sejalan dengan hadits lain yang Mutaffaq’alaih. Rujukan Bulughul Maram.

Hadith seterusnya:

عَنْ حُمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ قَالَتْ: كُنْتُ اُسْتَحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً، فَاَتَيْتُ النَّبِيَّ ص اَسْتَفْتِيْهِ. فَفَالَ: اِنَّمَا هِيَ رَكْضَةٌ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ اَيَّامٍ، اَوْ سَبْعَةَ اَيَّامٍ، ثُمَّ اغْتَسِلِيْ، فَاِذَا اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّيْ اَرْبَعَةً وَعِشْرِيْنَ، اَوْ ثَلاَثَةً وَ عِشْرِيْنَ، وَ صُوْمِيْ وَ صَلِّيْ، فَاِنَّ ذَلِكَ يُجْزِئُكِ، وَكَذَلِكِ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا تَحِيْضُ النِّسَاءُ، فَاِنْ قَوِيْتِ عَلَى اَنْ تُؤَخِّرِى الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلِى الْعَصْرَ، ثُمَّ تَغْتَسِلِيْ حِيْنَ تَطْهُرِيْنَ، وَتُصَلِّى الظُّهْرَ وَ الْعَصْرَ جَمِيْعًا، ثُمَّ تُؤَخِّرِيْنَ الْمَغْرِبِ وَ تُعَجِّلِيْنَ الْعِشَاءَ، ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ، فَافْعَلِيْ، وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ الصُّبْحِ وَتُصَلِّيْنَ. قَالَ: وَهُوَ اَعْجَبُ اْلاَمْرَيْنِ اِلَيَّ. رَوَاهُ اْلخَمْسَةُ اِلاَّ النَّسَئِيَّ، وَ صَحَّحَهُ التِّرْمِذِيُّ، وَ حَسَّنَهُ اْلبُخَارِيُّ.
Dari Humnah binti Jahsy, ia berkata: “Saya pernah istihadhah yang banyak (dan) keras, saya datang kepada Nabi saw meminta fatwa kepadanya, maka sabdanya: “Yang demikian hanya satu gangguan dari syaitan. Oleh itu hendaklah engkau berhaidh enam atau tujuh hari kemudian engkau mandi. Maka apabila engkau sudah bersih, solat 24 atau 23 hari, dan berpuasalah dan solatlah (sunat), kerana yang demikian itu cukup buatmu, dan berbuat demikian tiap-tiap bulan sebagaimana perempuan-perempuan berhaidh, tetapi jika engkau kuat buat mentakhirkan Zohor dan mentaqdimkan Asar, kemudian engkau mandi ketika engkau bersih, lalu engkau jamak solat Zohor dan Asar, kemudian engkau takhirkan Maghrib dan taqdimkan Isyak, kemudian engkau mandi, kemudian engkau jamakkan dua solat itu, berbuatlah; dan engkau mandi beserta Subuh dan engkau solat. Sabdanya: “Dan yang demikian perkara yang lebih aku sukai dari yang lainnya”.
Diriwayatkan oleh lima kecuali Nasaie dan disahkan oleh Tirmizi dan Bukhari menghasankannya.
(Lima itu maksudnya diriwayatkan hadits ini oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah)

Sebenarnya waktu bagi haidh itu tidak ditentukan oleh Nabi saw secara tetap lalu ulama-ulama mengambil pendapat bersandar hadith-hadith dari hal haidh bahawa haidh itu kadar biasanya seminggu, 6-7 hari dan selebih-lebihnya 15 hari. InsyaAllah kita akan sambung lagi bab ini dengan lebih terperinci dalam siri yang berikutnya.


Sumber: Koleksi teks kuliah mingguan Persatuan Al-Islah, Perlis
 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger