Wudhuk

Saturday, April 25, 2009

BAB WUDHUK

Bersugi
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنْ رسولِ الله ص اَنَّهُ قَالَ: لَوْ لاَ اَنْ اَشُقَّ عَلَى اُمَّتِيْ لاَََمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ وَضُوءٍ

Daripada Abi Hurairah, daripada Rasulullah saw. bahawasanya ia pernah bersabda: Jika tidak aku menyebabkan kesusahan atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi (memberus gigi) di tiap-tiap kali berwudhuk. Diriwayatkan oleh Malik, Ahmad dan Nasai. Disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Bukhari sebutkan ia secara ta’liq.

Hadits di atas walaupun tidak menunjukkan wajibnya bersugi tetapi nyata bahawa ia satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam malah amalan bersugi ini cukup ditekankan dalam ilmu kesihatan. Oleh yang demikian, jadikanlah amalan bersugi ini sebagai satu amalan ketika berwudhuk kerana ia adalah sunnah Rasulullah saw, walau tidak dapat dilakukan di setiap kali berwudhuk, cubalah melakukannya dua atau tiga kali daripada wudhuk-wudhuk tersebut. Tidaklah ditetapkan bersugi itu hanyalah dengan kayu sugi tetapi boleh digunakan bahan-bahan lain yang sesuai untuknya dan dari barang yang halal.

Membaca Basmallah
Terdapat banyak riwayat tentang membaca Basmallah (Bismillah) sebelum berwudhuk tetapi semua riwayat-riwayat ini lemah – demikian menurut ahli-ahli hadits. Pada pandangan ulama ahli hadits, walaupun hadits-hadits ini dhaif (lemah), tetapi disebabkan banyak riwayatnya dan sejalan iaitu tidak bertentangan antara satu riwayat dengan riwayat yang lainnya maka ia menjadi kukuh dan menunjukkan amalan ini bukan tidak berdasarkan keterangan hadits. Ada ulama yang mengqiyaskan amalan ini dari sebuah hadits yang membawa pengertian umum (hadits yang tidak diceritakan tentang bab wudhuk) bahawa sunat membaca Basmallah tersebut, haditsnya berbunyi:

اِبْدَأُوا بِمَا بِدَأَ اللهُ بِهِ
“Mulailah dengan apa yang dimulai oleh Allah”. Hadits ini menurut Sayyid Sabiq adalah shahih. Sekianlah penjelasan dalam urusan membaca Basmallah dan terserahlah pada pembaca untuk memahami dan menghayati masalah ini.

Niat
Jika diteliti hadits-hadits darihal wudhuk maka kita akan dapati tiada satu pun keterangan daripada Rasulullah saw. yang menyuruh kepada berniat ketika berwudhuk. Ulama ahli Sunnah wal Jamaah telah mengqiyaskan hadits dari peristiwa hijrah yang berbunyi:

اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: اِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan setiap manusia akan mendapat menurut apa yang diniatkan. Diriwayatkan oleh Jamaah. Fathul Bary 1/9, Muslim VI/48, Mukhtashor Shahih Muslim/180.

Walaupun hadits ini diambil dari peristiwa ‘hijrah’ tetapi hadits ini membawa pengertian umum, tidak dinyatakan bahawa untuk hijrah semata-mata. Lalu apa yang dijadikan alasan oleh para ulama di atas urusan niat ini dapatlah diperjelaskan bahawa ianya adalah bersandarkan keterangan dari hadits Rasulullah saw. bukan hanya pendapat dari akal fikiran semata-mata. Maka dengan itu dapatlah difahami bahawa ibadah seperti thaharah (bersuci), solat, puasa, zakat dan lain-lainnya memerlukan niat. Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya “Majmu’atur Rasaailil Kubra 1/243 pernah menulis: Tempat niat itu ialah di hati tanpa di lidah (pengucapan). Demikian berdasarkan kesepakatan para Imam Muslimin dalam semua urusan ibadah.

Berkata imam-imam dari mahzab Syafei dari urusan niat ini:

الَنِّيَّةُ قُصْدُ شَيْءٍ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ

“Niat itu sengaja (berkehendak tanpa dipaksa) membuat sesuatu beserta dengan melakukannya.” Dan jika dirujuk / diteliti, tiada diperoleh lafaz niat di bab wudhuk dari kitab Imam As- Syafei sendiri. Maka, setelah merujuk hadits-hadits yang shahih dari bab wudhuk jangankan lafaz niat, hadits tentang niat yang diyakini wajib untuk sesuatu ibadah itu pun terpaksa diqiyaskan dari hadits hijrah, diatas tadi hanya keratan dan sekarang diberikan dalam riwayat yang lebih jelas:

اِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ اِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ اِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ اِلَى دُنْيَا يُصِيْبُهَا اَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ اِلَى مَا هَاجَرَ اِلَيْهِ
“Setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan setiap manusia akan mendapat menurut apa yang diniatkan. Barang siapa hijrah kerana Allah dan RasulNya maka ia akan mendapat pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya, dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya menurut apa yang dia niatkan.” Hadits shahih riwayat Jama’ah.

Yang jelas apabila kita bertujuan melakukan sesuatu perbuatan seperti berwudhuk, sebenarnya telah terlintas di hati kita apa yang hendak kita lakukan. Bermula dari langkah kita ke tempat wudhuk, sebenarnya jika tujuan kita memang untuk berwudhuk, telah tersemat di hati tentang tujuan yang hendak kita lakukan, cuma kehendak itu perlu disertakan perbuatan untuk melengkapkan ertikata niat yang sebenar. Kita mengambil faham bahawa Rasulullah saw. tidak menjelaskan tentang niat di waktu wudhuk kerana seseorang yang pada keadaan sedar ingin berwudhuk tentulah didahului dengan kehendak, bila kehendak disertakan dengan perbuatan maka lengkaplah niat tersebut. Janganlah kita mencari jalan sukar dengan mengadakan muqaranah niat yang kemudiannya berpecah kepada muqaranah haqiqiyah dan ada muqaranah ‘urfiyah. Bila nak dirikan sembahyang atau berwudhuk maka kena isytiharkan niat, lalu muqaranahkan dengan perbuatan, yang akhirnya wudhuknya mungkin setengah jam masih belum selesai atau orang sudah selesai sembahyang berjemaah kita masih berulang-ulang kali mengulangi wudhuk kerana berperang dengan muqaranah niat.

Sesungguhnya perbuatan menokok tambah, yang asalnya mudah lalu di tambah itu dan ini sehingga menjadi sukar adalah satu kebodohan yang tidak lain akan menyebabkan orang itu terjerumus ke jalan kesesatan. Mereka mengadakan hadits-hadits palsu untuk dijadikan alasan. Sebuah hadits tentang ada lafaz niat ini yang berbunyi:

بَيْنَمَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم جَلَسَ مَعَ اَصْحَابِهِ فِى الْمَسْجِدِ اِذْ اَتَاهُ فَاطِمَةُ فَسَأَلَتْهُ عَنْ صَلاَةِ الْعَصْرِ فَقَالَ: قُوْلِيْ اُصَلِّىْ فَرْضَ الْعَصْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً لله تَعالَى وَقُولِيْ اُصَلِّىْ فَرْضَ الظُّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اَدَاءً لله تَعَالَى
Dikala Nabi saw. duduk beserta sahabat-sahabatnya di masjid, tiba-tiba datanglah Fatimah padanya, sambil bertanya dari hal solat ‘Asar. Maka beliau bersabda: Bilanglah engkau (begini): “Aku solat fardu ‘Asar empat rakaat tunai kerana Allah yang Maha Mulia.” dan bilanglah pula: “Aku solat fardu Zuhur empat rakaat tunai kerana Allah yang Maha Mulia.”
Kononnya hadits ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Inilah hadits maudhu’ atau hadits palsu juga dipanggil dengan nama hadits dusta. Tidak ada hadits yang berbunyi begini dalam Bukhari, Muslim atau mana-mana kitab baik yang riwayatnya shahih, hasan maupun yang dhaif kecuali dari kitab yang haditsnya diisytiharkan maudhu’ (palsu).

Kesimpulan tentang niat itu, setelah kita meneliti keterangan diatas, niat itu adalah wajib dan tempatnya di hati.

Tatacara berwudhuk
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رسول الله ص: اِذَا تَوَضَّأْتُمْ فَابْدَأُوا بِمَيَامِنِكُمْ
Daripada Abi Hurairah ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Apabila kamu berwudhuk, hendaklah kamu mulai dari (anggota) kanan kamu.
Dikeluarkan oleh ‘Empat’ dan disahkan oleh Ibnu Khuzaimah.

Anggota wudhuk yang berpasang seperti tangan dan kaki hendaklah dimulai dengan anggota yang kanan terlebih dahulu.

Membasuh tangan
Daripada Aus bin Abi Aus memberitakan menerusi datuknya yang berkata:

رَاَيْتُ رَسُولَ الله ص تَوَضَّأَ فَاسْتَوْكَفَ ثَلاثً
“Saya melihat Rasulullah saw. berwudhuk, maka dibasuhnya telapak tangan tiga kali.”
Hadits riwayat Ahmad dan Nasai dengan isnad yang shahih.

Sebuah hadits daripada Abdullah bin Zaid menceritakan tentang membasuh tangan semasa berwudhuk:
“Dan dari hadits Abdullah bin Zaid ia ditanya perihal wudhuk Nabi saw. maka ia meminta sebatil (bijana) air, kemudian ia berwudhuk untuk menunjukkan cara wudhuk Nabi saw. kepada mereka, lalu ia menuangkan air dari batil (bijana) ke atas tangannya, kemudian ia mencuci kedua tangannya tiga kali.”
Faitul Bary 1/255 : dan Muslim: III /121.

Sebuah hadits lagi menjelaskan dari hal membasuh tangan, hendaklah di luar bekas air apabila kita bangun dari tidur.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنْ رسول الله ص أَنَّهُ قَالَ: اِذَا اسْتَيْقَظَ اَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ فَلاَ يَغْمِسْ يَدَهُ فِى الاِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلاثًا فَاِنَّهُ لاَ يَدْرِى اَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. bersabda: Apabila bangun seseorang daripada kamu dari tidurnya, maka janganlah ia selamkan tangannya di bijana sebelum ia cuci tiga kali kerana ia tidak tahu dimana telah bermalam tangannya.
Muttafaq ‘Alaih dan lafaz di atas adalah dari Muslim.

Sebuah hadits lagi menceritakan tentang menyelati jari-jari dari dua tangan (menjalin)

عَنْ لَقِيْطِ بْنِ صَبِرَةَ قَالَ: قَالَ رسول الله ص: اَسْبِغِ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الأصَابِعِ وَبَالِغْ فِى الاِسْتِنْشَاقِ اِلاَّ اَنْ تُكُوْنَ صَائِمًا
Dari Laqith bin Shabirah ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Sempurnakan wudhuk dan selat-selatilah antara jari-jari dan bersungguh-sungguhlah pada menaikkan air ke hidung kecuali kalau engkau berpuasa.”
Dikeluarkan oleh ‘Empat’, dan disahkan oleh Ibnu Khuzaimah.


Berdasarkan hadits yang diriwayat oleh Ahmad dan Nasaie ‘……..dibasuhnya telapak tangannya tiga kali’ dan hadits Abdullah bin Zaid ‘……ia menuangkan air dari batil (bijana) ke atas tangannya kemudian ia mencuci kedua tangannya tiga kali’. Maka kesimpulannya kedua tangan itu dibasuh bermula dari jari-jari sehinggalah habisnya kawasan tapak tangan iaitu bertemunya dengan pergelangan tangan. Disunatkan dalam berwudhuk untuk melebihkan basuhan dari kawasan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, apabila kita membasuh tangan dari jari-jari hingga kedua pergelangan tangan maka sunat kita lebihkan basuhan melebihi kedua pergelangan tangan tersebut.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: سَمِعْتُ رسول الله ص يَقُول: اِنَّ اُمَّتِيْ يَأْتُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِيْنَ مِنْ اَثَرِ الْوُضُوءِ فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ اَنْ يُطِيْلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ
Daripada Abu Hurairah ia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya umatku akan datang di hari kiamat dalam keadaan cemerlang muka dan dua tangannya dari bekas wudhuk, oleh itu barangsiapa daripada kamu yang boleh melebarkan cemerlangnya hendaklah ia berbuat. Muttafaq ‘Alaih dan lafaz di atas bagi Muslim.

Daripada sekian banyak hadits darihal membasuh tangan, maka dapatlah disimpulkan tentang cara-cara membasuh tangan adalah seperti berikut:

1. Menuangkan air ke tapak tangan kanan
2. Membasuh kedua tangan dengan menggosok-gosok kedua tangan bergilir-gilir
3. Menyelat atau menyeli jari-jari dari kedua tangan berulang-ulang
4. Membasuh dan meratakan dari hujung jari-jari sehinggalah kedua pergelangan tangan dengan menyelat-nyelat antara jari-jari
5. Sunat meratakan air dengan melebarkan dari kawasan yang sepatutnya ia basuh
6. Diulangi langkah (1) hingga (5) sebanyak tiga kali

Berkumur & Menaikkan air ke hidung
Dalam sepotong hadits yang diriwayat oleh Ahmad dan Nasaie, daripada Ali :

اَنَّهُ دَعَا بِوَضُوءٍ فَتَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَنَثَرَ بِيَدِهِ الْيُسْرَى فَفَعَلَ هَذَا ثَلاثًا ثُمَّ قَالَ: هَذَا طَهُورُ نَبِيِّ الله صلى الله عليه وسلم
Bahawa Ali meminta air untuk berwudhuk, maka ia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidungnya dan menghembuskannya keluar dengan tangan kiri. Dilakukan perbuatan ini sebanyak tiga kali kemudian ia berkata: Beginilah caranya Nabi saw. bersuci.

Daripada Abdullah bin Zaid ia berkata:
اَنَّ رسولَ الله ص تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدٍ فَعَلَ ذَلِكَ ثَلاثًا. وَفِى رِوَايَةٍ: تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ بِثَلاثِ غَرَفَاتٍ
Bahawa Rasulullah saw. berkumur-kumur dan menaikkan air ke hidung dari satu tangan, dilakukan demikian tiga kali. Dan menurut satu riwayat: “Rasulullah saw. berkumur dan menghembuskan air dari hidung dengan tiga kali saukan. Muttafaq ‘Alaih.

عَنْ عَلِيٍّ – فِيْ صِفَةِ الْوُضُوء – ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاثًا يُمَضْمِضُ وَيَسْتَنْثِرُ مِنَ الْكَفِّ الَّذِي يَأْخُذُ مِنْهُ الْمَاءَ
Daripada Ali – tentang sifat wudhuk – “….kemudian Nabi saw. berkumur-kumur dan menghembuskan air dari hidung tiga kali, beliau berkumur-kumur dan menghembuskan air dari hidung dari tangan yang ia ambil air dengannya. Riwayat Abu Daud dan Nasaie

Abdu Khair memberitakan: Sewaktu kami sedang duduk, kami menumpukan perhatian kepada Ali bin Abi Thalib sewaktu ia sedang berwudhuk, di mana ia memasukkan air pada tangan kanannya memenuhi mulutnya lalu ia berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung; dan dengan menggunakan tangan kirinya ia menghembuskannya keluar. Ia melakukan perbuatan ini tiga kali kemudian ia berkata: “Siapa ingin melihat bagaimana Rasulullah saw. bersuci maka inilah cara bersucinya”. Riwayat ad-Darimi. Al-Albani memandang sanadnya shahih.

Demikianlah hadits-hadits yang boleh dijadikan alasan dalam bab berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung iaitu hadits-hadits yang menurut pengkajian ahli hadits terlepas dari kedhaifan (lemah). Namun begitu, di bawah ini turut dipaparkan sepotong hadits yang dhaif (lemah) untuk pengetahuan kita bersama.

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ عَنْ اَبِيْهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ: رَاَيْتُ رسول الله ص يَفْصِلُ بَيْنَ الْمَضْمَضَةِ وَالاِسْتِنْشَاقِ
Daripada Thalhah bin Musharrif daripada bapanya daripada datuknya ia berkata: Saya lihat Rasulullah saw. pisahkan antara berkumur-kumur dan menaikkan air ke hidung. Riwayat Abu Daud dengan isnad yang lemah.

Berdasarkan hadits-hadits tersebut di atas, adalah Rasulullah saw. dengan sekali cedokan air menggunakan tangannya, ia berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung. Diulanginya sedemikian sebanyak tiga kali. Apabila menghembus air dari hidung, hendaklah menggunakan tangan kiri ke arah kiri badan dan begitu juga apabila mengeluarkan air kumuran. Ini bersandarkan hadits yang berbunyi:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ وَاَبِيْ سَعِيْد اَنَّ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم رَاَى نُخَامَةً فِى جِدَارِ الْمَسْجِدِ فَتَنَاوَلَ حَصَاةً فَحَتَّهَا وَقَالَ: اِذَا تَنَخَّمَ اَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَخَّمَنَّ قِبَلَ وَجْهِهِ وَلاَ عَنْ يَمِيْنِهِ وَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ اَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى
Daripada Abu Hurairah dan Abi Said bahawa Rasulullah saw. melihat kahak menempel di dinding masjid lalu ia mengambil batu dan menggosoknya lalu berkata: Apabila salah seorang di antara kamu meludah, maka janganlah sekali-kali ia meludah ke depan dan jangan pula ke kanannya tetapi hendaklah ia meludah ke kirinya atau ke bawah kakinya yang sebelah kiri. Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.

Sebuah hadits lagi berbunyi:

وَعَنْ اَنَس اَنَّ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: اِذَا قَامَ اَحَدُكُمْ فِى صَلاَتِهِ فَلاَ يَبْزُقَنَّ قِبَلَ قِبْلَتِهِ وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ اَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ ثُمَّ اَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيْهِ وَرَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ فَقَالَ اَوْ يَفْعَلُ هَكَذَا
Daripada Anas bahawa Nabi saw. bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu berdiri dalam solatnya maka jangan sekali-kali ia meludah ke depannya tetapi hendaklah ke kirinya atau ke bawah telapak kakinya” lalu ia (Rasulullah saw.) mengambil hujung selendangnya dan meludah di situ dan melipat sebahagian (hujung selendang) itu atas sebahagian lalu ia bersabda: “Atau dia berbuat begini”. Riwayat Ahmad dan Bukhari. [Nailul Authar :2 : 635-637]

As-Syaukani berpendapat berdasarkan hadits pertama dalam bab meludah ini, sama ada ke arah depan atau kanan baik dalam solat mahu pun luar solat hukumnya makruh. Berkata Muaz bin Jabal: Sejak aku memeluk Islam, aku tidak pernah meludah ke kanan. Demikianlah alasan dari bab meludah yang dikaitkan kepada hal meluahkan kumuran semasa berwudhuk, sama-samalah kita renungi dan cuba memahami masalah ini berdasarkan keterangan yang telah diberikan moga-moga Allah memberikan kita petunjuk jalan yang benar.



Daripada hadits-hadits tersebut di atas, berikut adalah susunan tertib cara berkumur dan menaikkan air ke hidung:

1. Mencedok air dengan tangan
2. Lalu berkumur serta menaikkan air ke hidung dari tangan yang sama
3. Menghembus keluar air dari hidung dengan tangan kiri ke sebelah kiri
4. Meluahkan air kumuran ke sebelah kiri
5. Diulangi langkah (1) hingga (4) sebanyak tiga kali

Adalah Rasulullah saw. menggunakan air sebanyak satu mudd (lebih kurang sepenuh cedokan dua tapak tangan) apabila berwudhuk dan untuk mandi pula, beliau menggunakan satu sha’ air (lebih kurang 2¼ kg). Ini berdasarkan hadits daripada Anas ia berkata:

كَانَ رسولُ اللهِ ص يَتَوَضَّاُ بِالْمُدِّ وَيَغْتَسِلُ بِالصَّاعِ اِلَى خَمْسَةِ اَمَدَادٍ.
Adalah Rasulullah saw. berwudhuk dengan (satu) mudd dan mandi dengan (satu) sha’ hingga lima mudd. Muttafaq ‘Alaih

Dan diterima daripada Ubeidillah bin Abi Yazid:

كَمْ يَكْفِيْنِى مِنَ الوُضُوءِ ؟ قَالَ مُدٌّ، قَالَ كَمْ يَكْفِيْنِىلِلْغُسْلِ ؟ قَالَ صَاعٌ، فَقَالَ الرَّجُلُ: لاَ يَكْفِيْنِى، فَقَالَ: لاَأُمَّ لَكَ قَدْ كَفَى مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنْكَ: رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Ibnu Abbas r.a: Berapa cukup air bagiku untuk berwudhuk ? Ujar Ibnu Abbas: Satu mudd. Bertanya laki-laki tadi: Dan untuk mandi ? Jawab Ibnu Abbas: Satu sha’. “Ah ! tidak cukup untukku,” kata laki-laki itu pula. “Celaka, bahkan itu cukup bagi orang yang lebih baik daripadamu: Ia itu Rasulullah saw”. Ujar Ibnu Abbas. Diriwayat oleh Ahmad dan Tabrani dengan sanadnya orang-orang yang terpercaya.

Dengan alasan tersebut jelaslah jumlah air yang boleh digunakan untuk berwudhuk dan tak timbul masalah tak boleh celup dalam air yang sedikit, kerana Rasulullah saw. melakukan yang demikian (mencelup tangan dalam air) dan itulah sebaik-baik contoh.

Membasuh Muka
Membasuh muka adalah bermulanya sifat yang wajib dalam berwudhuk dengan alasan dari firman Allah yang berbunyi:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوْسِكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ
Yang lebih kurang bermaksud:
“Hai orang yang beriman apabila kau berdiri hendak solat, maka basuhlah mukamu dan dua tanganmu hingga ke dua siku, dan sapulah kepalamu dan (basuhlah) kakimu hingga dua buku lali.”
Surah Al-Maidah: 6

Cara membasuh muka ini ada diterangkan dalam sebuah hadits daripada Humran yang berbunyi:

عَنْ حُمْرَانَ اَنَّ عُثْمانَ دَعَا بِوَضُوءٍ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى اِلَى الْمِرْفَقِ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى اِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ: رَاَيْتُ رسول الله ص تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِيْ هَذَا
Daripada Humran bahawasanya Usman meminta air wudhuk, lalu ia mencuci dua tangannya tiga kali; kemudian ia berkumur-kumur dan menaikkan air ke hidung dan menghembusnya, kemudian ia mencuci mukanya tiga kali, kemudian ia mencuci tangannya yang kanan sampai siku tiga kali, kemudian kiri seperti demikian, kemudian ia usap kepalanya, kemudian ia cuci kakinya yang kanan sampai ke buku lali tiga kali, kemudian yang kiri seperti demikian, kemudian ia berkata: Saya pernah lihat Rasulullah saw. berwudhuk seperti wudhuk saya ini. Muttafaq ‘alaih.

Menurut hadits di atas, membasuh muka itu dilakukan tiga kali iaitu diulang-ulang membasuhnya tiga kali sehingga benar-benar rata air di seluruh muka. Kita telah maklum bahawa disunatkan kita melebarkan rataan air semasa berwudhuk melebihi dari tempat yang disuruh. Apabila kita membasuh muka, mulai dari kawasan tumbuhnya rambut (lebihkan sedikit dari kawasan kulit muka) dan ratakanlah sehingga di bawah dagu dan lebarkan rataan air sehingga ke dua anak telinga.


Kesimpulannya, aturan membasuh muka itu adalah seperti di bawah ini:

1. Mencedok air dengan dua tangan
2. Membasuh muka bermula dari tumbuhnya rambut
3. Lalu dilebarkan sehingga ke dua anak telinga
4. Dan diratakan sehingga ke bawah dagu
5. Diulangi langkah (1) hingga (4) sebanyak tiga kali dan meratakan air tersebut ke seluruh kawasan muka tanpa sebarang halangan

Membasuh tangan hingga ke siku
Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 6 yang ertinya lebih kurang bermaksud: “……. maka basuhlah mukamu dan dua tanganmu sehingga ke dua siku” dan hadits daripada Humran, dijelaskan juga di situ tentang membasuh dua tangan hingga dua siku. Dari keterangan tersebut, nyata bagi kita bahawa cara membasuh tangan itu bermula dari tangan lalu diratakan air itu sehingga ke siku. Adalah dilarang memulakan basuhan dari siku lalu diratakan ke tangan kerana ia berlawanan dengan perintah Allah dalam surah seperti tersebut di atas dan tidak dicontohkan oleh Rasulullah saw. melalui hadits-hadits yang shahih. Daripada Humran yang menceritakan sifat wudhuk Nabi saw:

ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى اِلَى الْمِرْفَقِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ
“Kemudian Rasulullah saw. membasuh tangan kanannya hingga ke siku tiga kali kemudian tangan kirinya sedemikian juga”. Muttafaq ‘Alaih.

Cara-cara membasuh dua tangan hingga ke siku adalah seperti berikut:

1. Mencedok air dengan tangan
2. Lalu membasuh tangan (dimulai tangan kanan)
3. Meratakan dari tangan ke siku
4. Sunat melebarkan lebih dari siku
5. Diulangi langkah (1) hingga (4) sebanyak tiga kali sehingga rata air tersebut tanpa halangan ke atas tangan kanan dan kiri.


Bermula dengan membasuh tangan kanan sehingga melebihi siku sebanyak tiga kali kemudian diikuti tangan kiri dengan cara yang demikian juga.

Menyapu kepala
Dalam sepotong hadits yang diriwayat oleh Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie dengan isnad yang shahih.

عَنْ عَلِيٍّ – فِى صِفَةِ وُضُوءِ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم – قَالَ: وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ وَاحِدَةً
Daripada Ali – tentang sifat wudhuk Nabi saw. – ia berkata: “…….dan ia (Nabi saw.) usap kepalanya sekali. Tirmizi berkata: Inilah hadits yang paling shahih dalam bab mengusap kepala.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَاصِمٍ – فِى صِفَةِ الْوُضُوء – قَالَ: وَمَسَحَ رسولُ الله ص بِرَأْسِهِ فَاَقْبَلَ بِيَدَيْهِ وَاَدْبَرَ
Daripada Abdullah bin Zaid bin ‘Ashim – tentang sifat wudhuk – ia berkata: “…….dan Rasulullah saw. usap kepalanya iaitu ia jalankan dua tangannya ke belakang dan ia kembalikannya. Muttafaq ‘Alaih

وَفِى لَفْظٍ لَهُمَا: بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ حَتَّى ذَهَبَ بِهِمَا اِلَى قَفَاهُ ثُمَّ رَدَّهُمَا اِلَى الْمَكَانِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ
Dan di satu lafaz lain bagi keduanya (Bukhari dan Muslim): Ia (Rasulullah saw.) mulai (mengusap) dari depan kepalanya hingga ia jalankan dua tangannya sampai tengkoknya, kemudian ia kembalikan (keduanya) ke tempat yang ia mulai daripadanya

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو– فِيْ صِفَةِ الْوُضُوءِ - قَالَ: ثُمَّ مَسَحَ بِرَاْسِهِ وَاَدْخَلَ اِصْبَعَيْهِ السَّبَّاحَتَيْنِ فِيْ اُذُنَيْهِ وَمَسَحَ بِاِبْهَامَيْهِ ظَاهِرَ اُذُنَيْهِ
Daripada Abdullah bin Amr - tentang sifat wudhuk - ia berkata: “……kemudian ia (Rasulullah saw.) usap kepalanya dan ia masukkan dua jari telunjuknya di dua telinganya dan ia usap dua telinganya di sebelah luar dengan dua ibu jarinya
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasai dan disahkan oleh Ibnu Khuzaimah

Rasulullah saw. apabila mengusap kepala dalam hadits-hadits shahih, beliau sekalikan atau satukan usapan kepala dan telinga dan dilakukan hanya sekali sahaja tidak seperti sifat wudhuk yang lain yang diulang-ulang tiga kali basuhan. Adalah difahamkan beralasan hadits-hadits shahih, bahawa telinga itu termasuk bahagian kepala dan wajib di sapu di dalam berwudhuk. Cara menyapu atau mengusap kepala menurut sunnah Rasulullah saw. adalah seperti berikut:

1. Mencedok air dengan dua tangan lalu membuang air di tangan keluar bijana (batil), ditinggalkan hanya basahan air sahaja di dua tangan.
2. Lalu meletakkan dua tangan yang basah di depan kepala dekat dahi.
3. Menjalankan dua tangan ke belakang sehingga tengkok.
4. Lalu menarik kembali ke tempat yang dimulai (dahi)
5. Kemudian diturunkan dua tangan itu ke dua telinga.
6. Diusap sebelah dalamnya dengan dua jari telunjuk dan di sebelah luarnya dengan dua ibu jari.
7. Hanya dilakukan sekali sahaja seperti diatas tidak diulang.

Di bawah diberikan susunan gambaran tentang sifat menyapu kepala dan telinga.


Membasuh Kedua Kaki
عَنْ اَنَسٍ قَالَ: رَأَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً وَفِيْ قَدَمِهِ مِثْلُ الظُّفْرِ لَمْ يُصِبْهُ الْمَاءُ فَقَالَ " اِرْجِعْ فَاَحْسِنْ وُضُوءَكَ "

Daripada Anas ia berkata: Nabi saw. melihat seorang yang di kakinya tidak kena air sebesar kuku lalu ia bersabda: “Kembali dan baguskanlah wudhukmu.”
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasaie

Berkata Ibnu Umar r.a:

تَخَلَّفَ عَنَّا رسولُ الله ص فِى سَفْرَةٍ فَاَدْرَكْنَا وَقَدْ اَرْهَقَنَا الْعَصْرُ فَجَعَلْنَا نَتَوَضَّأُ وَنَمْسَحُ عَلَى اَرْجُلِنَا فَنَادَى بِاَعْلَى صَوْتِهِ " وَيْلٌ لِلأعْقَابِ مِنَ النَّارِ " مَرَّتَيْنِ اَوْ ثَلاثًا
“Rasulullah saw. tertinggal daripada kami dalam sebuah perjalanan. Kemudian ia dapat menyusul kami, sedangkan di kala itu waktu ‘Asar sudah sempit. Kami segera berwudhuk dan menyapu kaki kami. Nabi saw. pun berseru sekeras suaranya dua atau tiga kali: “Celaka berupa api neraka bagi tumit-tumit!”(disebabkan basuhan yang tidak sempurna). Muttafaq ‘Alaih.

Daripada Humran menceritakan perihal wudhuk Rasulullah saw:

ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى اِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ
“Kemudian beliau (Rasulullah saw.) membasuh kaki kanannya sehingga dua buku lalinya tiga kali kemudian membasuh kaki kirinya sedemikian juga”. Muttafaq ‘Alaih. Berkata Abdurrahman bin Abi Laila: Para sahabat Rasulullah s.a.w sepakat tentang wajibnya membasuh kedua mata kaki. (Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fikih Sunnah)

Al-Mustaurid bin Syadaad memberitakan:

رَاَيْتُ رسولَ الله ص اِذَا تَوَضَّأَ يُدَلِّكُ اَصَابِعَ رِجْلَيْهِ بِخِنْصِرِهِ
“ Saya melihat Rasulullah saw. apabila berwudhuk ia menggosok anak-anak jari kedua kakinya dengan jari kelingkingnya. Riwayat Abu Daud dengan darjat shahih.

عَنِ ابْنِ عَبَّاس اَنَّ رسول الله ص قَالَ: اِذَا تَوَضَّأْتَ فَخَلِّلْ بَيْنَ اَصَابِعِ يَدَيْكَ وَرِجْلَيْكَ
Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw. bersabda: Apabila engkau berwudhuk maka selat-selatlah antara jari kedua-dua tanganmu dan kedua-dua kakimu. Riwayat Tirmizi dengan darjat hasan.

Beralasan dari Al-Quran, surah al-Maidah: 6 yang lebih kurang maksudnya: “…..dan (basuhlah) kaki-kaki kamu hingga dua mata kaki (buku lali).”Dan keterangan dari hadits-hadits di atas dan sebelumnya (hadits-hadits yang dipelajari dari bab wudhuk sebelumnya) maka cara-cara berwudhuk adalah seperti dibawah:

1. Mencedok air dengan tangan.
2. Membasuh dan meratakan dari hujung kaki dan diselat-selat jari-jari kaki.
3. Lalu dibasuh dan diratakan sehingga ke dua mata kaki.
4. Diulangi langkah (1) hingga (3) sebanyak tiga kali dan rataan air hendaklah ke seluruh bahagian kaki yang diperintahkan tanpa sebarang halangan serta sunat dilebarkan basuhan tersebut dari kawasan yang ditetapkan.


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHUK
Untuk mengetahui tentang perkara-perkara yang membatalkan wudhuk maka hendaklah kita merujuknya menurut keterangan yang jelas.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رسولُ الله ص: اِذَا وَجَدَ اَحَدُكُمْ فِى بَطْنِهِ شَيْئًا، فَاَشْكَلَ عَلَيْهِ اَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ اَمْ لاَ فَلاَ يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتّى يَسْمَعَ صَوْتًا اَوْ يَجِدَ رِيْحًا
Daripada Abu Hurairah ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: “Apabila seseorang daripada kamu merasa sesuatu di dalam perutnya, iaitu meragukan dia adakah keluar daripadanya sesuatu atau tidak, maka janganlah ia keluar dari masjid (buat berwudhuk) hingga ia dengar suara atau ia rasa angin.” Dikeluarkan oleh Muslim.

Hadits ini dengan jelas menerangkan jika kita timbul rasa was-was sama ada kentut atau tidak, maka pastikan kita yakin mendengar bunyi atau rasa angin (ada yang mengatakan baunya). Jika tidak yakin perkara tersebut berlaku, maka tak perlulah kita berwudhuk lagi. Sebuah hadits dari lafaz Bukhari:

عَنْ عَلِيِّ بْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ: كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَاَمَرْتُ الْمِقْدَادَ اَنْ يَسْأَلَ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَهُ فَقَالَ "فِيْهِ الْوُضُوءُ"
Daripada Ali bin Abi Talib ia berkata: Adalah saya seorang yang sangat bermazi, lalu saya suruh Miqdad bertanya kepada Nabi saw lalu ia bertanya, maka sabdanya: “Wajib berwudhuk di tentang itu.”- Muttafaq ‘Alaih -

Hadits ini menjelaskan orang yang keluar mazi itu perlu berwudhuk jika ia hendak sembahyang atau melakukan ibadah lain yang perlu kepada wudhuk. Dalam sebuah hadits yang disahkan dia oleh Tirmizi dan Ibnu Hibban yang berbunyi:

عَنْ بُسْرَةَ بِنْتِ صَفْوَان اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ
Dari Busrah binti Shafwan bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: “Barang siapa menyentuh kemaluannya hendaklah ia berwudhuk.” Diriwayatkan oleh ‘Lima’ dan berkata Imam Bukhari: Ia sebaik-baik hadits di dalam bab ini.
Hadih seterusnya daripada Abu Hurairah:

اَنَّ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ اَفْضَى بِيَدِهِ اِلَى ذَكَرٍ لَيْسَ دُوْنَهُ سِتْرٌ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ
Bahawa Nabi saw bersabda: “Siapa yang membawa tangannya ke kemaluan tanpa ada yang membatas, maka wajib berwudhuk.” Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim, disahkan hadits ini oleh Hakim dan Ibnu Abdil Bir.

Ini adalah dalil-dalil bagi pihak yang mengatakan bahawa bersentuh tangan dengan kemaluan itu membatalkan wudhuk.

Pihak kedua pula mengatakan batal jika dengan tapak tangan tetapi tidak batal jika dengan belakang tangan - ini adalah pandangan golongan As- Syafieyah. Berkata Ibnu Hazim, bagi pendapat tersebut tidak ada dalil sama ada dari kitab (Al-Quran) atau As-Sunnah, dan tidak pada ijmak, tidak pula dikata oleh sahabat. Tidak ada qiyas dan tidak ada pendapat yang shahih. Rujuk Subulus Salam dan Sahahu Ibnu Hibban.
Pihak kedua ini banyak pertikaian dan tidak kukuh penghujahannya.

Bagi pihak yang ketiga mereka mengatakan bersentuh tangan dengan kemaluan itu tidak batal kerana hadits daripada Thalq:

اَنَّ رَجُلاً سَأَلَ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم عَنْ رَجُلٍ يَمَسُّ ذَكَرَهُ هَلْ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ فَقَالَ: لاَ اِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ
Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw. perihal seorang lelaki yang menyentuh kemaluannya, apakah ia wajib berwudhuk? Ujar Nabi saw: “Tidak, itu hanya merupakan sepotong anggota daripadamu.” Diriwayatkan oleh yang ‘Lima’ dan disahkan oleh Ibnu Hibban. Berkata Ibnu Madini: “ Hadits ini lebih baik dari hadits Busrah.”

Keterangan
Berhubung dengan perkara ini Ibnu Hazmi berkata, bahawa hadits Thalq Ibnu Ali yang mengatakan perbuatan demikian tidak membatalkan wudhuk, sebenarnya pada awal hijrah sebelum Rasulullah saw. mengimarahkan masjidnya. Hadits ini telah dimansuhkan dengan hadits daripada Busrah yang di akhir Islam. Dalam hadits Thalq ada seorang daripada perawinya bernama Qais bin Thaliq. Imam As-Syafie berkata sesungguhnya kami bertanya (menyiasat) berhubung dengan Qais bin Thaliq, maka kami tidak dapati orang yang mengetahuinya.

Imam Malik memberi pandangan dalam hal ini, apabila dua hadits bertentangan (hadits yang boleh dibuat hujah), maka dia berpandangan sesiapa yang menyentuh kemaluannya maka disunatkan dia mengambil wudhuk bukan diwajibkan. Rujuk Subulus Salam, Juz 2 m.s 68.
Sebuah hadits Muttafaq ‘Alaih daripada Aisyah yang berbunyi:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ اَبِيْ حُبَيْشٍ اِلَى النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ: يَا رسولَ الله اِنِّيْ امْرَأَةٌ اُسْتَحَاضُ فَلاَ اَطْهُرُ اَفَاَدَعُ الصَّلاةَ قَالَ: لاَ اِنَّمَا ذَلِكَ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضٍ فَاِذَا اَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِى الصَّلاَةَ وَاِذَا اَدْبَرَتْ فَاغْسِلِيْ عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّيْ
Daripada Aisyah ia berkata: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy kepada Nabi saw lalu berkata: Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang perempuan yang berpenyakit istihadhah hingga saya tidak suci. Lantaran itu apakah boleh saya tinggalkan solat? Sabdanya: “Jangan! Yang demikian itu dari urat dan bukan haid. Maka apabila datang haidmu, tinggalkanlah solat, dan apabila ia berhenti, cucilah daripadamu darah itu (mandi), kemudian solat”.

Berhubung dengan hukum istihadhah mengikut Al-Bukhari hadits Aisyah tadi ada tambahan, iaitu ‘kemudian hendaklah kamu mengambil wudhuk bagi setiap solat’. Tetapi Muslim berkata tambahan tadi ditiadakan dengan sengaja. Tambahan ini menunjukkan bahawa istihadhah itu membatalkan wudhuk. Maka apabila hendak bersembahyang wajib berwudhuk, dan apabila selesai sembahyang dan istihadhah itu masih ada maka untuk waktu yang seterusnya hendaklah ia berwudhuk semula.

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan disahkan oleh Daraquthni dan asalnya di dalam Muslim:

عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ اَصْحَابُ رسولِ الله ص – عَلَى عَهْدِهِ – يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُم ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُونَ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Adalah sahabat-sahabat Rasulullah saw di zamannya, mereka menunggu (solat) Isyak hingga terangguk-angguk kepala mereka, kemudian mereka solat, padahal mereka tidak berwudhuk (lagi).

Menurut satu riwayat di dalam Baihaqi, yang maksudnya: Anas berkata: “Sahabat-sahabat itu dibangunkan (dari tidur) untuk solat padahal saya dengar sebahagian daripada mereka telah berdengkur”.

Ibnu Mubarak seorang ahli hadits berpendapat mereka itu tidur sambil duduk. Menurut riwayat Yahya Al-Qath-than yang maksudnya: Anas berkata: “Bahawa sahabat-sahabat itu tidur dengan miring”. Daqiq Al-Aid mengatakan yang dimaksudkan ialah tidur yang sedikit. Dari hal tidur itu memang ada hadits yang menceritakan tentang batalnya wudhuk iaitu bersandarkan hadits Shafwan bin ‘Assal:

كَانَ رسولُ الله ص يَأْمُرُنَا اِذَا كُنَّ سَفْرًا اَنْ لاَ نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاثَةَ اَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ اِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ
“Rasulullah saw. memerintahkan apabila kami sedang berada dalam perjalanan supaya kami tidak usah membuka sepatu selama tiga hari tiga malam lantaran buang air besar atau kecil atau tidur, kecuali lantaran janabah”. Diriwayat oleh Ahmad, Nasaie dan Tirmizi yang mengatakan sahnya.

Apa yang menjadi perbincangan para ulama dalam bab ini ialah selama mana atau dalam keadaan mana tidur yang membatalkan wudhuk. Apa yang boleh disimpulkan bahawa tidur itu, selagi tidak hilang keyakinan kita tentang masih adanya wudhuk maka tak perlu kita berwudhuk tetapi jika sampai keliru dan ragu-ragu apabila kita bangun dari tidur maka yang terbaiknya kita berwudhuk kembali. Sabda Rasulullah saw:

اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: لَوْ لاَ اَنْ اَشُقَّ عَلَى اُمَّتِيْ لاَمَرْتُهُمْ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ بِوُضُوءٍ وَمَعَ كُلِّ وُضُوءٍ بِسِوَاكٍ
Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: “Kalau tidaklah akan memberatkan bagi umatku, tentu ku suruh mereka berwudhuk setiap hendak solat, dan agar mereka menggosok gigi setiap berwudhuk.”
Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang hasan.

Bab Menyentuh Perempuan: Untuk penjelasannya mestilah kita merujuk keterangan-keterangan dari bab ini. Firman Allah: [Al-Maidah : 6]

وَاِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَاِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى اَوْ عَلَى سَفَرٍ اَوْ جَاءَ اَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ اَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيْدًا طَيِّبًا
Ertinya lebih kurang bermaksud:
“……dan sekiranya kamu berjunub maka hendaklah kamu bersihkan dengan mandi janabah. Jika kamu sakit (tidak boleh guna air) atau dalam perjalanan atau pun pergi tandas (buang air besar atau kecil) atau menyentuh wanita (bersetubuh) dan kamu tidak mendapati air, maka hendaklah bertayamum dengan tanah yang bersih”.

Berhubung perkara sentuh perempuan dalam ayat di atas, ulama-ulama berselisih pendapat tentang tafsir ayat “او لامستم النساء” .Berlaku perkara ini diantara sebabnya adalah perbezaan cara bacaan ayat tersebut.

1) Cara bacaan yang pertama: “او لامستم النساء” iaitu dengan memanjangkan bacaan “لا” yang ada “اليف” yang membawa maksud bersetubuh.

2) Cara bacaan kedua adalah bacaan: “او لمستم النساء” iaitu dengan memendekkan bacaan “ل” yang tidak ada “اليف” yang membawa maksud sentuh.

Maka disebabkan perbezaan ini, lahirlah tiga pendapat yang masyhur iaitu:

1) Pendapat Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa “او لامستم النساء” bermaksud setubuh. Maka dengan bersetubuh sahajalah yang membatalkan wudhuk. Sentuh sahaja tidak membatalkan, walaupun dengan syahwat.

2) Pendapat Imam Syafei mengatakan bahawa “او لامستم النساء” itu ialah sentuh bukan setubuh. Maka bersentuh sahaja lelaki dan perempuan maka batallah wudhuk walaupun tanpa syahwat.

3) Pendapat Imam Malik dan Ahmad mengatakan bahawa “او لامستم النساء” ialah sentuh yang bersungguh-sungguh, iaitu dengan syahwat. Maka dengan demikianlah membatalkan wudhuk. Tetapi jika bersentuh tanpa syahwat, tidak membatalkan wudhuk.

Apabila berlaku perselisihan pendapat seperti ini maka kembalilah kepada Allah . FirmanNya:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيْهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ اِلَى الله
Bermaksud: “Dan apa-apa yang kamu perselisihkan tentang sesuatu, maka kembalilah hukumnya kepada Allah.” As-Syura ayat 10, [42: 10]

FirmanNya lagi: An-Nisa’ayat 59, [4: 59]

يَاَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اَطِيْعُوا اللهَ وَاَطِيْعُوا الرَّسُولَ وَاُوْلِى الأَمْرِ مِنْكُمْ فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِى شَيْءٍ فَرُدُّوهُ اِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ اِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الأَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَاَحْسَنُ تَأْوِيْلاً
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan orang-orang yang mengurus pekerjaan di kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembalikan perkara tersebut kepada Allah dan Rasul jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan.”

Jangan kita kembali kepada Mazhab, kerana jika ada sepuluh Mazhab maka mungkin akan wujud sepuluh pendapat dan kita bimbang akan bertambahlah perpecahan dalam Islam. Apabila kita kembali kepada Allah maka yang dapat menunjuk jalan dan pedoman kepada kita adalah Al-Quran dan Sunnah RasulNya. Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُولُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً مُبِيْنًا
Bermaksud:
Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya, maka ia telah sesat dalam kesesatan yang nyata.” Al-Ahzab ayat 33, [33: 36].

FirmanNya lagi:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُولِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
Bermaksud:
Sesungguhnya pada Rasulullah sudah ada contoh yang baik bagimu”. Al-Ahzab ayat 21, [33: 21].

Bersandarkan pada ayat-ayat Al-Quran di atas maka apa yang perlu kita lakukan dalam masalah ini adalah kembali kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. untuk mendapatkan tafsiran yang sebenarnya kerana dialah yang menerima wahyu Allah dan memahami dengan jelas maksud ayat tersebut.

عَنْ عَائِشَة قَالَتْ اَنَّ رسولَ الله ص قَبَّلَهَا وَهُوَ صَائِمٌ وَقَالَ: اِنَّ الْقُبْلَةَ لاَ تَنْقُضُ الْوُضُوءَ وَلاَ تُفْطِرُ الصَّائِمَ
Daripada Aisyah ia berkata bahawa Rasulullah saw. menciumnya sedang beliau berpuasa. Kemudian sabdanya (Nabi saw): “Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wudhuk dan tidak pula membatalkan puasa.”
Diriwayatkan oleh Ishak bin Rahawaih dan juga Al-Bazzar dengan sanad yang baik.
Menurut Abdul Hak, tidak ada cacat cela untuk mengamalkannya. Fikih Sunnah m.s :113.

عَنْ عَائِشَة قَالَتْ فَقَدْتُ رسولَ الله ص ذَاتَ لَيْلَةٍ مِنَ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَضَعْتُ يَدِيْ عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِى الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُول " اللهم اِنِّيْ اَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَاَعُوْذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ وَاَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لاَ اُحْصِى ثَنَاءً عَلَيْكَ اَنْتَ كَمَا اَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Daripada Aisyah ia berkata: Pada suatu malam aku kehilangan Rasulullah saw. dari tempat tidur, lalu aku pun mencarinya (dalam gelap) maka teraba oleh tanganku telapak kakinya yang tertegak kerana ia sedang sujud dan membaca: Allahumma inni a’udzu biridhoka min sakhothika wa a’udzu bimu a‘afatika min ‘uqubatika, wa a’udzu bika minka, la uhshi tsanaan ‘alaika, anta kama atsnaita ‘ala nafsik. (Ya Allah, aku berlindung dengan redha-Mu dari murka-Mu, aku berlindung dengan keampunan-Mu dari siksa-Mu, aku berlindung dengan-Mu daripada-Mu, tiada terhitung puji-pujianku kepada-Mu, Engkau adalah sebagaimana yang telah Engkau puji atas diri-Mu sendiri. Hadits riwayat Muslim dan Tirmizi serta disahkan ia oleh Tirmizi.

عَنْ عَائِشَة اَنَّ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ ثُمَّ خَرَجَ اِلَى الصَّلاة وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
Daripada Aisyah bahawa Nabi saw. mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi sembahyang tanpa berwudhuk lagi.”
Hadits riwayat Ahmad dan ‘Empat’ dengan sanad yang orang-orangnya dapat dipercayai.

عَنْ عَائِشَة قَالَتْ كُنْتُ اَنَامُ بَيْنَ يَدَى رسولِ الله ص وَرِجْلاَىَ فِى قِبْلَتِهِ فَاِذَا سَجَدَ غَمَزَنِيْ فَقَبَضْتُ رِجْلَىَّ فَاِذَا قَامَ بَسَطْتُها
Daripada Aisyah ia berkata: Aku tidur di hadapan Rasulullah saw. sedang kedua kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila beliau sujud dirabanya (dipicitnya) aku lalu kutarik kakiku dan apabila beliau berdiri kuhulurkan kembali kedua kakiku. Bukhari dan Muslim

Dalam bab menyentuh perempuan, tiada diperoleh keterangan yang shahih dan jelas daripada Rasulullah saw. menunjukkan batalnya wudhuk apabila bersentuhan dengan perempuan.


PENJELASAN TENTANG SENTUH PEREMPUAN
1. Jika sentuh perempuan itu batal, tentulah sentuh ibu, saudara perempuan, anak perempuan, juga batal kerana ayat 6 Surah Al-Maidah itu tidak membezakan perempuan dan tidak juga ada keterangan lain dari hal wudhuk yang membezakan antara ibu, anak perempuan dan perempuan lain.

2. Apabila difaham bersentuh perempuan itu batal, maka sentuh bajunya juga boleh dikira batal kerana ayat Al-Quran tadi tidak membatas sentuh berlapik atau sentuhan terus ke kulitnya.

Jalan yang terbaik, kembalilah kepada Sunnah Rasulullah saw. kerana demikianlah perintah Allah kepada orang yang beriman. Akan tetapi setelah jelas kebenaran kepada kita, setelah kita mengetahui dengan terang contoh daripada Rasulullah saw. lalu kita tidak berpuas hati/tidak yakin dengan cara tersebut dan menolak Sunnahnya maka sesungguhnya kita telah kufur kepada Rasulullah saw. Keputusan yang tepat dan benar menurut Al-Quran dan Sunnah dari hadits yang shahih : Sentuh perempuan itu tidak membatalkan wudhuk, sama ada bernafsu atau tidak bernafsu selagi tidak bersetubuh dengannya.
Sabda Rasulullah saw:

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ
Maka barangsiapa yang tidak suka akan Sunnahku (menyimpang dari Sunnahku), maka dia bukan dari golonganku. Muttafaq ‘Alaih.

DOA SELEPAS WUDHUK DAN KELEBIHAN BERWUDHUK
Antara doa selepas berwudhuk yang shahih riwayatnya tanpa ada perselisihan ulama ialah hadits daripada Umar:

عَنْ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رسول الله ص: مَا مِنْكُمْ مِنْ اَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوُضُوءَ ثُمَّ يَقُول " اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ " اِلاَّ فُتِحَتْ لَهُ اَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ اَيِّهَا شَاءَ
Daripada Umar ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Tidak seorang pun dikalangan kamu yang berwudhuk lalu disempurnakan wudhuknya, kemudian ia membaca: “Asyhadu allaa ilaaha illal-laahu wahdahu laasyarikalah wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh.” (Aku mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, Dia yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, dan aku mengaku bahawa Muhammad itu hamba dan utusan-Nya), kecuali dibukakan baginya pintu syurga yang lapan itu, hingga ia dapat masuk dari mana pun yang disukainya. Diriwayatkan oleh Muslim.

Sesungguhnya wudhuk itu satu amalan yang mulia dan diperintahkan dalam Islam agar dilakukan dengan sempurna, bukan dilakukan sekadar pelepas atau ala kadar. Rugilah bagi orang-orang yang mengabaikan ibadah wudhuk, melaksanakannya dengan cuai dan tidak menepati Sunnah Rasulullah saw, kerana tidak diterima amalan tanpa ilmu yang benar dari peninggalan Rasulullah saw, beliau adalah utusan Allah yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan, mencontohkan, mengajarkan kepada kita jalan atau cara melaksanakan sesuatu amal ibadat.

Maka rugilah orang-orang yang mengangkat ulama sebagai panduan dan meninggalkan Sunnah Rasulullah saw. Keingkaran mereka untuk menerima Sunnah Rasul tidak lain hanya akan menyebabkan mereka tercampak ke lembah kesesatan dan kekufuran. Tidak ada seorang ulama pun yang mampu lari dari kesilapan dan bersifat maksum, sesungguhnya Allah memelihara dan menjaga Rasul-Nya dari kesalahan dalam urusan agamaNya. Firman Allah:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْىٌ يُوحَى
Bermaksud:
“Dan tiadalah yang diucapkan itu menurut hawa nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.” An-Najm ayat 3-4, [53: 3-4]

Ancaman Allah kepada orang-orang tidak mahu menurut, menerima Sunnah Rasul setelah mereka mengetahui / dijelaskan keterangan kepada mereka tetapi masih tetap degil dan mengingkarinya.Firman-Nya:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيْرًا
Bermaksud:
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang Mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah di kuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” An-Nisaa’ ayat 115, [4:115].

Tidak payahlah kita mereka-reka doa sebelum dan sesudah wudhuk cukuplah dengan doa yang telah dicontohkan Rasulullah saw. Tinggalkanlah amalan yang lahir dari nafsu dan akal yang tidak terpimpin yang telah keliru dan tersasar ke jalan Syaitan. Kembalilah kepada jalan yang benar iaitu jalan yang terpimpin menurut Al-Quran dan Sunnah Rasul.
Firman Allah:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Bermaksud:
“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, oleh itu hendaklah kamu ikutinya dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa.” Al-An’aam ayat 153, [6:153].

Di antara kelebihan wudhuk yang dijelaskan oleh Rasulullah saw. bahawa wudhuk yang sempurna itu akan menghapuskan dosa-dosa. Sabda Rasulullah saw:

عَنْ اَنَسٍ اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: اِنَّ الْخَصْلَةَ الصَّالِحَةَ تَكُوْنُ فِى الرَّجُلِ يُصْلِحُ اللهُ بِهَا عَمَلَهُ كُلَّهُ وَطَهُورُ الرَّجُلِ لِصَلاَتِهِ يُكَفِّرُ اللهُ بِطُهُورِهِ ذُنُوبَهُ وَتَبْقَى صَلاَتُهُ لَهُ نَافِلَةً
Daripada Anas bahawa Rasulullah saw. bersabda: Dengan perangai yang baik yang terdapat pada seorang lelaki, Allah menyempurnakan segala amalnya, dan dengan bersuci untuk mengerjakan solat, Allah menghapuskan dosa-dosanya, hingga bulatlah solat itu menjadi pahala baginya.”
Di riwayat oleh: Abu Ya’la, Bazzar, dan Thabrani dalam Al-Ausath.

عَنْ عَبْدِ الله الصُّنَابِجِىّ اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: اِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ فَمَضْمَضَ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ فِيْهِ فَاِذَا اسْتَنْثَرَ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ اَنْفِهِ فَاِذَا غَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ وَجْهِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ اَشْفَارِ عَيْنَيْهِ فَاِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ يَدَيْهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ اَظَافِرِ يَدَيْهِ فَاِذَا مَسَحَ بِرَأْسِهِ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ رَأْسِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ اُذُنَيْهِ فَاِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ خَرَجَتِ الْخَطَايَا مِنْ رِجْلَيْهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ اَظَافِرِ رِجْلَيْهِ ثُمَّ كَانَ مَشْيُهُ اِلَى الْمَسْجِدِ وَصَلاَتُهُ نَافِلَةً
Daripada Abdullah Ash Shunabiji bahawa Rasulullah saw bersabda: Apabila seorang hamba berwudhuk lalu berkumur-kumur, keluarlah dosa-dosa dari mulutnya, maka apabila ia membersihkan hidung, dosa-dosa akan keluar pula dari hidungnya, begitu juga tatkala ia membasuh muka, dosa-dosa akan keluar dari mukanya hingga keluar juga dari bawah pinggir kelopak matanya. Apabila ia membasuh kedua tangan, dosa-dosanya akan keluar dari tangannya hingga turut keluar dari bawah kukunya, demikian pula halnya bila ia menyapu kepala, dosa-dosanya akan keluar dari kepalanya hingga turut keluar dari kedua telinganya. Begitu juga tatkala ia membasuh kedua kaki, keluarlah dosa-dosa dari kakinya hingga turut keluar dari bawah kuku jari-jari kakinya. Kemudian tinggallah perjalanannya ke masjid dan solatnya menjadi pahala yang bersih baginya.
Diriwayatkan oleh Malik, Nasaie, Ibnu Majah dan Hakim.

Betapa pentingnya kita menjaga wudhuk, menyempurnakan wudhuk itu dengan cara yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. Bukan hanya dengan bertaubat dosa-dosa kita diampunkan malah dengan menyempurnakan wudhuk juga membersihkan dosa-dosa, Maha Pemurah Tuhan yang memberikan kemudahan dan keampunan kepada hamba-Nya.
Sabda Rasulullah saw:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَة اَنَّ رسولَ الله ص قَالَ: اَلاَ اَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ قَالُوا بَلَى يَا رسولَ الله قَالَ " اِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا اِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda: Mahukah saya tunjukkan padamu hal-hal dengan mana Allah menghapuskan dosa-dosamu serta mengangkat darjatmu? Mereka berkata: Mau ya Rasulullah. Sabda Rasulullah saw: “Menyempurnakan wudhuk menghadapi segala kesusahan, dan sering melangkah mengunjungi masjid, serta menunggu solat demi solat. Itulah perjuangan!,Itulah perjuangan!, Itulah perjuangan!”.
Diriwayatkan oleh Malik, Muslim, Tirmizi dan Nasaie.

Hadits ini membawa maksud orang yang terus-menerus bersuci dan beribadat sama nilainya dengan berjihad fi sabilillah. Betapa besarnya kelebihan berwudhuk dan melakukannya dengan sempurna menurut cara-cara yang diterangkan dari Al-Quran dan Sunnah Rasul. Marilah kita berwudhuk dengan cara berilmu yang benar dan meninggalkan amalan-amalan taksub dan menurut orang tanpa penjelasan yang terang menurut Sunnah Rasul saw.

Ketika berwudhuk elakkkan dari pembaziran air dengan berbagai-bagai alasan dari fahaman Mazhab-Mazhab seperti air dua kolah, air musta’mal dan berbagai tambahan doa kerana perbuatan itu tidak lain hanya perbuatan menurut, tanpa keterangan yang jelas dari Al-Quran dan Sunnah Rasul. Sabda Rasulullah saw:

قَالَ رسولُ الله ص: اِنَّهُ سَيَكُوْنُ فِى هَذِهِ الأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُوْنَ فِى الطُّهُورِ وَالدُّعَاءِ
Rasulullah saw. bersabda: Nanti akan muncul dalam kalangan ummat ini satu golongan yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.
Diriwayat oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.

Daripada kita menokok tambah dalam urusan ibadat yang jelas terlarang dalam syariat Islam adalah lebih baik kita melaksanakan amalan-amalan sunat yang sememangnya terang daripada Rasulullah saw. Sembahyang dua rakaat sunat wudhuk adalah di antara amalan sunat yang dikerjakan oleh Rasulullah saw. selepas berwudhuk. Dalam sepotong hadits riwayat Bukhari, Muslim dan Nasaie, Rasulullah saw. bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ مِثْلَ وُضُوئِيْ هَذَا ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيْهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Siapa yang berwudhuk seperti wudhukku ini, kemudian ia solat dua rakaat dengan khusyuk (tidak ia bercakap-cakap dalam hatinya di dalam sembahyang itu), diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.

قَالَ رسولُ الله ص: مَا اَحَدٌ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ وَيُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ يَقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا اِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
Telah bersabda Rasulullah saw: Tidak seorang pun yang berwudhuk dan mengelokkan wudhuknya lalu ia solat dua rakaat di mana dia berhadap (kepada Allah) padanya dengan hati dan wajahnya melainkan pastilah baginya syurga.
Diriwayat oleh Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dalam shahihnya.
 
IBADAH. Citrus Pink Blogger Theme Design By LawnyDesignz Powered by Blogger